Ucapan dan Nasihat Kesihatan Aidilfitri

UCAPAN DAN NASIHAT KESIHATAN AIDILFITRI KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
24 Julai 2014

DG1

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Sesungguhnya Ramadhan kali ini memberi banyak cabaran kepada seluruh rakyat Malaysia apabila berlakunya insiden yang tidak disangka ke atas pesawat #MH17. Tambahan pula, insiden kehilangan pesawat #MH370 masih lagi segar di dalam ingatan kita semua. Negara juga buat masa ini berhadapan dengan peningkatan kes denggi termasuklah jumlah kematian. Diharap ujian yang diberikan kepada kita ini akan menjadikan negara kita lebih matang serta hendaknya, kita sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama lebih bersatu dan menyayangi antara satu sama lain. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memainkan peranan dan sentiasa bersiap sedia memberikan perkhidmatan tanpa mengira waktu dan keadaan khususnya di dalam menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa MH17 dan membantu pihak berkuasa di dalam pengenalpastian identiti mayat mangsa. Manakala untuk kes denggi, KKM juga sentiasa bersedia di dalam aktiviti pencegahan dan juga perawatan pesakit.

Sempena menyambut #Syawal yang bakal menjelang tiba ini, saya menyarankan semua rakyat Malaysia agar mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga. Pastikan rehat dan tidur mencukupi sebelum memulakan perjalanan balik kampung dan pastikan kenderaan telah diperiksa serta amalkan memakai tali pinggang keledar, topi keledar dan ikut peraturan jalan raya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. Elakkan dari tingkahlaku merbahaya seperti bermain mercun yang boleh membawa padah kepada diri sendiri. Pastikan kita mengambil perhatian serius tehadap kebersihan semasa menyediakan makanan bagi mengelak keracunan makanan. Gunakan kesempatan berkumpul bersama sanak saudara di kampung untuk bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran rumah bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk khususnya nyamuk Aedes. Semasa musim perayaan ini, kita hendaklah sentiasa beringat dan amalkan cara pemakanan yang sihat. Bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis (#diabetes), tekanan darah tinggi (#hypertension) dan lain-lain penyakit, pastikan bekalan ubat dibawa bersama ke kampung dan patuh kepada nasihat dan arahan yang telah diberikan oleh doktor. Bagi mereka yang merokok, anggaplah amalan semasa bulan Ramadhan sebagai suatu latihan untuk terus berusaha berhenti dari tabiat merokok yang memudaratkan.

Di samping itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar mengetahui lokasi hospital atau kemudahan kesihatan sama ada awam atau swasta yang berdekatan dengan kampung halaman bagi memudahkan mendapatkan rawatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Perkhidmatan Respon Kecemasan atau Malaysia Emergency Response Services (MERS) boleh dicapai melalui panggilan telefon 999.

Dengan ini, saya dan juga mewakili isteri saya, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga KKM, sanak saudara dan juga sahabat dan kenalan. Bagi anggota KKM yang terpaksa bertugas semasa musim perayaan ini, anggaplah pengorbanan ini sebagai suatu amal jariah yang akan dibalas dengan ganjaran setimpal oleh-Nya nanti. Saya juga mendoakan yang terbaik untuk anggota pasukan bertindak KKM untuk MH17 yang terpaksa meneruskan tugas, sama ada di dalam negara atau di luar negara. Saya juga menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas segala salah dan silap. Bagi mereka yang bukan beragama Islam, saya mengucapkan selamat bercuti dan selamat menikmati kemeriahan Hari Raya kali ini.

Semoga negara kita Malaysia yang tercinta ini sentiasa dilindungi oleh Allah swt.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s