Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia : Ebola

KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KKM BAGI MENGHADAPI POTENSI PENULARAN PENYAKIT VIRUS EBOLA DI MALAYSIA

02 Ogos 2014

Terdahulu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan oleh YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 31 Julai 2014 telah memaklumkan mengenai kesiapsiagaan KKM bagi menghadapi potensi penularan penyakit virus Ebola atau Ebola virus disease (EVD) di Malaysia dan juga nasihat kesihatan khususnya untuk orang awam yang ingin mengadakan lawatan ke negara yang terlibat dengan jangkitan EVD di Afrika Barat, iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

Saya ingin menegaskan bahawa KKM telah menyediakan aktiviti-aktiviti kesiapsiagaan dan respons bagi berbagai jenis kejadian termasuk penyakit berjangkit di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah termasuk di pintu masuk negara. Ia dipantau dan diselaraskan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Kebangsaan (National CPRC) dan kini diperkukuhkan lagi bagi menghadapi penyakit EVD.

Langkah-langkah kesiapsiagaan di pintu masuk antarabangsa bagi menghadapi penularan EVD terutama di pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diperkukuhkan. Penerangan yang jelas telah diberikan oleh KKM kepada pegawai di Pintu Masuk KLIA berkaitan penyakit EVD, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk kawalan jangkitan infeksi, pengesanan kes disyaki dan kontak, membuat notifikasi dengan kadar segera dan rujukan kes disyaki ke hospital berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut. Namun begitu, KKM juga perlu bekerjasama rapat dengan agensi lain yang berada di pintu masuk seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan semua jabatan atau agensi berkaitan semasa melakukan saringan ke atas pelawat yang tiba di pintu masuk negara. Kerjasama rapat dengan jabatan dan agensi berkaitan di pintu masuk mengukuhkan lagi kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan penularan penyakit ini.

KKM juga bekerja sama rapat dengan Kementerian Luar Negeri dan telah menyalurkan maklumat berkaitan penyakit EVD dan nasihat kesihatan kepada para pelawat yang ingin pergi ke negara-negara yang dijangkiti dan warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut. Begitu juga dengan Kementerian Pelajaran Tinggi untuk memberikan nasihat dan menyaring pelajar-pelajar yang pulang ke negara yang berwabak EVD di benua Afrika. Semua langkah-langkah pencegahan dan kawalan ini bermula selepas pemakluman oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan kejadian ini dalam bulan Mac 2014.

Selain dari itu, KKM mempunyai makmal yang berkeupayaan untuk mengesan virus ebola iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), di samping kemudahan untuk merawat kes di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Dimaklumkan, di Malaysia EVD adalah salah satu penyakit yang perlu dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PCID) 1988. Sehingga kini, tiada kes EVD yang dilaporkan di Malaysia.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian penyakit ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO dan sebarang perkembangan terkini mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Diharapkan semua Kementerian dan agensi akan bekerjasama untuk mencegah dan mengawal situasi EVD ini.

Sekian dan terima kasih.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s