Blog

Program Doktor muda diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Melentur buluh biarlah dari rebungnya…

Saya mengambil kesempatan pada kali ini untuk memperkenalkan program Doktor Muda yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Ia merupakan suatu program jangka masa panjang bagi menerapkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak seterusnya ia diharapkan dapat dikekalkan apabila mereka dewasa kelak, bak kata perumpamaan “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya’. Pernahkah kita bertanya pada diri Kita sendiri, berapa kali dalam setahun kita melakukan pemeriksaan kesihatan diri? Sihatkah kita sekarang? Suami kita? Isteri kita? Anak kita? Ibu bapa kita? Pasti ramai yang sedang tertanya dengan persoalan ini. Sebaliknya cuba kita tanya pada diri kita, bagaimana dengan kereta kita? Motosikal kita? Saya pasti semua akan berkata, Tip top, pemeriksaan dilakukan mengikut jadual ditetapkan!

Melihat kepada perjalanan hidup kita yang sering diintai berbagai jenis penyakit, Doktor Muda kini tampil kehadapan membantu mendidik dan membentuk amalan cara hidup sihat dalam kalangan rakan sebaya mereka. Program yang bermula di Bandar Di Raja Pekan Pahang pada tahun 1989 kini memasuki usia dewasa. 25 tahun bertapak di Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan Pahang, Doktor Muda kini memacu kehadapan sebagai satu etos kepada warga sekolah Berprestasi Tinggi ini. Program Doktor Muda ini turut mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia apabila diangkat sebagai salah satu aktiviti kokurikulum Sekolah Rendah bermula tahun 2006 yang kini selesa dikenali sebagai Kelab Doktor Muda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Prof. Dr. Donald Stewart, wakil yang dihantar ke negara ini pada tahun 2007 turut mengiktiraf Kelab Doktor Muda sebagai Program Promosi Kesihatan Sekolah yang berkesan. Pelaksanaan aktiviti yang berstruktur dengan dokongan kukuh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia meletakkan Kelab Doktor Muda antara Kelab terbaik dalam Anugerah Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seorang Doktor Muda haruslah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, mempunyai sifat seorang pemimpin, cemerlang dalam akademik, kemas dan berketrampilan menarik, mempunyai status kesihatan yang baik serta mempunyai kemampuan untuk mendekati rakan sebaya. Setiap dari mereka akan dilatih dan didedahkan dengan ilmu asas kesihatan oleh Guru Penasihat Kelab Doktor Muda. Mereka akan dibekalkan dengan Buku Catatan Aktiviti Harian yang akan digunakan bagi merekod setiap aktiviti yang mereka laksanakan bersama rakan sebaya di sekolah atau di rumah bersama ahli keluarga.

Bagi melahirkan masyarakat sekolah yang sihat dan sejahtera, Doktor Muda diberi tanggungjawab untuk melakukan aktiviti pemeriksaan kesihatan diri seperti kebersihan tangan, kebersihan pakaian, kebersihan gigi, kebersihan kuku dan sebagainya. Sementara itu mereka turut bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran sekolah bersih dan selesa untuk belajar. Senarai semak kebersihan tandas, bilik darjah, kantin dan persekitaran sekolah turut dibekalkan kepada mereka. Bergerak secara individu atau berkumpulan setiap dari mereka bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang penemuan kepada Guru Penasihat untuk tindakan susulan.

Aktiviti perkongsian ilmu semasa waktu perhimpunan sekolah antara ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak sekolah kepada Kelab Doktor Muda. Menerusi slot ini Doktor Muda akan tampil kehadapan berkongsi maklumat mengenai topik kesihatan atau melakukan demonstrasi memberus gigi, 7 langkah mencuci tangan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan. Tidak terhenti disitu, keberanian pihak sekolah memberi ruang kepada Doktor Muda untuk melakukan aktiviti kelas angkat juga membuktikan komitmen tinggi pihak sekolah untuk membentuk dan membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan muridnya. Menerusi aktiviti kelas angkat, sekumpulan Doktor Muda terdiri dari 2 hingga 4 orang akan menjaga, memantau dan bertanggungjawab memastikan setiap murid di dalam kelas berkenaan benar-benar mempunyai kesihatan diri yang baik. Kini, pihak sekolah dan Unit Kesihatan Sekolah KKM turut memberi kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan ujian BMI bagi setiap rakan sebaya. Kepercayan sebegini seharusnya kekal memandangkan ahli Kelab Doktor Muda sememangnya terlatih berdasarkan Modul Latihan yang dibekalkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM.

Kini Kelab Doktor Muda telah melebarkan sayapnya ke Sekolah Menengah dengan misi dan tujuan yang sama. Lebih baik lagi, hajat untuk merakyatkan Doktor Muda kepada kanak-kanak di Sekolah Integrasi Pendidikan Khas juga telah mendapat restu dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Saya ucapkan syabas kepada Bahagian Pendidikan Kesihatan serta lain-lain pihak yang telah menjayakan program ini setakat ini… maklumat lanjut di http://www.drmuda.gov.my

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s