Tahun ini merupakan tahun yang ke-22 kita menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia, dengan tema Penyusuan Susu Ibu: Satu Matlamat Kejayaan Sepanjang Hayat (Breastfeeding: A Winning Goal for Life). Tema pada tahun ini menekankan kepentingan untuk meningkat dan mengekalkan perlindungan, galakan dan sokongan terhadap penyusuan susu ibu dalam agenda selepas 2015, iaitu tahun di mana berakhirnya Matlamat Pembangunan Milenium (Millenium Development Goal, MDG). Bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu, pelbagai strategi dan aktiviti telah dilaksanakan. Antaranya:
- Inisiatif Hospital Rakan Bayi yang membantu ibu-ibu memulakan penyusuan susu ibu semasa di hospital. Namun, pelaksanaan Langkah Ke-10 Inisiatif ini iaitu ”Menggalakkan penubuhan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan merujuk ibu-ibu kepada mereka selepas keluar dari hospital” masih perlu dimantapkan dengan menggalakkan lebih ramai individu mahupun komuniti supaya tampil membantu para ibu terutamanya ibu-ibu muda yang kurang berkeyakinan untuk menyusukan bayi mereka dengan susu ibu selepas mereka keluar dari hospital.
- Komitmen hospital swasta amat diperlukan agar lebih banyak hospital swasta diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Sehingga kini, hanya 7.4% ataupun 13 daripada 175 buah hospital swasta telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi di seluruh negara. 127 hospital KKM telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi
- Selaras dengan pelaksanaan kriteria baru bagi pengiktirafan Hospital Rakan Bayi, Hospital-hospital Rakan Bayi di Malaysia sedang dalam proses menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang menyokong penjagaan “mesra-ibu” (mother-friendly care).
- Bagi melindungi para ibu daripada pengaruh promosi produk gantian susu ibu yang agresif, Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan telah dirangka semenjak tahun 1979. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sedang membuat semakan semula kali yang ke lima terhadap Tata Etika ini, agar ianya sentiasa relevan dengan trend pemasaran produk gantian susu ibu yang terkini.
Kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar bagi menyokong ibu-ibu yang bekerja bagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti:
- Pemberian subsidi yuran taska sektor awam berjumlah RM 180 sebulan kepada penjawat awam yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 5,000.00.
- Pemberian bantuan yuran taska sebanyak RM 250 sebulan kepada ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Pemberian insentif sehingga RM 200,000.00 dalam bentuk geran untuk menggalakkan penubuhan TASKA di tempat kerja bagi memudahkan ibu menyusui anak mereka.
- Dalam masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan penyediakan kemudahan kawasan mesra bayi di tempat awam termasuk pusat membeli belah.
- Pekerja wanita di sektor awam pula diberi kelonggaran untuk mengambil 60 hingga 90 hari cuti bersalin bagi setiap kelahiran daripada 300 hari cuti bersalin untuk sepanjang tempoh perkhidmatan. Kaum wanita juga dibenarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak sehingga 5 tahun. Suami juga diberikan cuti paterniti selama 7 hari.
Susu ibu bukan sahaja makanan terbaik untuk bayi, tetapi dapat melindungi bayi daripada risiko kegemukan, hiperkolesterolemia dan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes jenis-2 dan hipertensi apabila dewasa. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (National Health and Morbidity Survey III) pada 2006 menunjukkan bahawa peratus ibu yang pernah menyusukan bayi dengan susu ibu telah meningkat kepada 95% berbanding 88.6% pada tahun 1996. Data tahunan yang dikumpul daripada negeri-negeri pula menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif pada umur enam bulan telah meningkat daripada 16.2% pada tahun 2010 kepada 36.6% pada tahun 2013.
Categories: Blog, Food, Healthy eating