Blog

Kenyataan Akhbar KP Kesihatan: Pesakit Kanak-kanak tidak perlu ke luar negara untuk menjalani pemindahan hati

Kenyataan Akhbar KP Kesihatan: Pesakit Kanak-kanak tidak perlu ke luar negara untuk menjalani pemindahan hati

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 September 2014, Khamis bertajuk “Kanak-kanak perlukan RM150,000.00 untuk kos pemindahan hati”. Terlebih dahulu, Kementerian Kesihatan ingin melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan adik Putra Muhammad Ilyas tersebut. Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa pembedahan pemindahan hati, baik dari penderma yang masih hidup mahupun dari penderma yang telah meninggal dunia, boleh dan telah pun dijalankan di Hospital Selayang sejak tahun 2002. Penderma yang masih hidup lazimnya terdiri daripada ahli keluarga terdekat termasuk ibu-bapa kepada pesakit.

Pembedahan dari penderma yang masih hidup boleh dilakukan secepat mungkin tanpa menunggu dengan syarat penderma sesuai [compatible] untuk menderma organnya dan juga keadaan klinikal pesakit adalah optimum dan mengizinkan. Proses ini bertujuan memastikan keselamatan kedua dua penderma dan penerima yang terlibat terjaga dan diberi keutamaan. Sehubungan ini, proses penentuan kesesuaian penderma dan penerima sememangnya memerlukan tempoh tertentu yang minima untuk dilaksanakan. Sekiranya tiada ahli keluarga yang bersedia untuk mendermakan organ semasa hidup, pesakit akan disenaraikan untuk menerima organ dari penderma yang telah meninggal dunia dan ini akan mengambil masa yang lebih panjang kerana pesakit perlu menunggu giliran. Pembedahan pemindahan hati boleh dijalankan di Hospital Selayang dengan caj yang dikenakan tidak melebihi RM 500. Penjawat awam, pesara dan juga ahli keluarga pesara perkhidmatan awam tidak dikenakan sebarang bayaran mengikut peraturan sedia ada.

Oleh itu, pihak Kementerian berpendapat pesakit tersebut tidak perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di luar negara yang memakan perbelanjaan yang tinggi kerana pembedahan pemindahan hati untuk kanak-kanak dari penderma hidup boleh dilakukan di hospital kerajaan dengan kos yang amat minima. Ini seterusnya menggugurkan keperluan untuk mengumpul dana dari orang ramai bagi membiayai pembedahan tersebut di luar negara. Pesakit tersebut dinasihatkan untuk menghubungi semula Hospital Selayang untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Buat masa ini, terdapat 14 pesakit yang sedang menunggu untuk pemindahan hati dari penderma yang telah meninggal dunia dan lebih 18,368 pesakit yang menunggu untuk pemindahan buah pinggang. Jumlah penderma organ yang telah meninggal dunia adalah rendah di Malaysia menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama. Terdapat 30-44 penderma organ dan tisu dari penderma yang meninggal dunia setahun dan kadar pendermaan organ di Malaysia hanya sekitar 0.6 pendermaan bagi setiap juta penduduk. Kementerian Kesihatan akan terus berusaha menggalakkan lagi rakyat Malaysia untuk menderma organ selepas kematian demi menyelamatkan nyawa pesakit termasuk kanak-kanak seperti adik Putra Muhammad Ilyas. Maklumat lanjut mengenai pendermaan organ boleh diperolehi melalui http://www.dermaorgan.gov.my dan http://www.facebook.com/dermaorgan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
12 September 2014

IMG_2926.JPG

1 reply »

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s