USAHA YANG DILAKUKAN OLEH BAHAGIAN PERKHIDMATAN FARMASI, KKM DALAM MEMBANTERAS PENJUALAN UBAT PALSU DI PASARAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk ubat tradisional dan suplemen kesihatan yang dijual di Malaysia berkualiti, berkesan dan selamat untuk digunakan. Semua produk farmaseutikal yang ingin dijual di Malaysia perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan kepada pengguna. Setiap produk farmaseutikal yang telah didaftarkan akan diberi satu nombor pendaftaran yang khusus (contoh MAL 12094567T) dan perlu dicetak pada label atau pembungkusan produk tersebut.
Pada awalnya, penguatkuasaan penggunaan nombor pendaftaran ini berkesan dan dapat membantu pengguna untuk membeli ubat dengan selamat. Walau bagaimanapun pemantauan pasaran yang dilakukan oleh BPF, KKM telah mengesan kewujudan produk farmaseutikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ataupun milik produk lain. Ini kerana nombor pendaftaran ini mudah ditiru dan pengguna mungkin sukar untuk mengesahkan kesahihannya sewaktu di pasaran.
Bagi mengatasi masalah ini, satu langkah penambahbaikan telah diambil dengan pengenalan penggunaan pelekat hologram Meditag pada semua produk farmaseutikal. Hologram ini telah mula digunakan pada tahun 2005 dan mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang boleh diperhatikan oleh pengguna dan juga oleh pegawai penguat kuasa farmasi. Hologram ini dikeluarkan oleh Syarikat Mediharta Sdn Bhd dan hanya dibekalkan kepada pengilang ataupun pengimport yang dilesenkan oleh KKM bagi memastikan ianya tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua produk berdaftar perlu mempamerkan nombor pendaftaran produk dan label hologram Meditag pada label atau pembungkusannya. Orang ramai dapat menyemak kesahihan label hologram tersebut pada produk yang dibeli samada dipremis lain atau premis farmasi menggunakan dekoder Meditag yang telah dibekalkan di semua farmasi seluruh seluruh negara.
Berdasarkan statistik rampasan yang dibuat oleh penguatkuasa farmasi kewujudan produk ubatan tiruan dalam negara ini adalah sekitar 3 – 6%, di mana tahap ini tidak jauh berbeza dari laporan WHO yang juga menganggarkan sebanyak 6 – 10% ubat-ubatan di pasaran seluruh dunia adalah tiruan dengan nilai mencecah AS$35 bilion (RM113.46 bilion) setahun.
Kewujudan ubat-ubatan tiruan adalah satu fenomena jenayah farmaseutikal yang berlaku secara global, negara-negara maju juga menghadapi masalah yang sama dan Malaysia tidak terkecuali dari mengalami masalah ini.
Pelbagai usaha yang melibatkan dasar dan operasi telah berjaya dilaksanakan dengan komitmen yang padu daripada kerajaan melalui pendekatan undang-undang yang mantap dalam membanteras penjualan ubat palsu di negara ini. Ini termasuk mewujudkan sistem kawal selia yang komprehensif untuk pendaftaran ubat-ubatan, penggunaan hologram Meditag, aktiviti penguatkuasaan yang berterusan seperti aktiviti pelesenan, pemeriksaan premis dan pintu masuk negara, operasi bersepadu dan kempen kesedaran pengguna di seluruh Malaysia. Dalam mencapai objektif membanteras penjualan produk ubat palsu di pasaran, Bahagian Penguatkuasa Farmasi mendapat kerjasama yang jitu daripada pelbagai agensi kerajaan seperti KPDNKK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam aktiviti “task force anti-counterfeiting”, agensi swasta yang merangkumi industri farmaseutikal dan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan persatuan-persatuan pengguna di peringkat kebangsaan dan global.
Berdasarkan akta yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM, tiada definisi khas dinyatakan untuk ubat palsu. Produk tiruan atau ubat-ubatan palsu hanya ditakrifkan di bawah Akta Perihal Dagangan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ubat tiruan dikategorikan sebagai ubat yang tidak berdaftar dengan PBKD, KKM dan penjualan ubat tiruan akan disiasat dan didakwa sebagai produk tidak berdaftar di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Pada tahun 2013 Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM telah dianugerahkan dengan anugerah “Global Anticounterfeiting Award 2013” dalam kategori sektor awam yang disampaikan semasa “World Anti-Counterfeiting Day” anjuran Union des Fabricans di Paris. Anugerah berprestij ini adalah satu penghormatan besar bagi Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) kerana ia mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh Bahagian ini dalam membendung penjualan dan pengedaran ubat-ubatan palsu di Malaysia. Bagi pengiktirafan di dalam negara pula, BPF telah menerima Anugerah Khas Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia 2013 – Meditag Hologram Sticker.
Sebagai kesimpulan, penguatkuasaan yang jitu dengan penglibatan pihak berkepentingan, sokongan kuat kerajaan dan semua golongan masyarakat diperlukan dalam menjayakan usaha membanteras produk ubat palsu di pasaran.