KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KKM BAGI MENGHADAPI PENULARAN WABAK PENYAKIT VIRUS EBOLA (EVD)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berdasarkan pemantauan yang dijalankan sehingga kini, tiada kes yang disahkan menghidap Ebola Virus Disease (EVD) di Malaysia. Merujuk kepada berita yang melaporkan kes warga Zimbabwe yang dirawat di Hospital Umum Kuching, Sarawak sebagai disyaki EVD telah disahkan negatif kepada Ebolavirus melalui ujian makmal ke atas sampel klinikal pesakit yang telah dijalankan pada 16 September 2014. Beliau telah dirawat sebagai menghidap jangkitan saluran pernafasan iaitu Acute Pharyngitis dan telah pulih sepenuhnya serta akan discaj dari hospital pada hari ini.
KKM ingin memaklumkan berdasarkan laporan dari pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 16 September 2014, terdapat sejumlah 4985 kes (suspected, probable dan lab confirmed) EVD dan dari jumlah tersebut sebanyak 2461 kematian telah dilaporkan. Namun begitu, wabak EVD ini masih berlaku di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. Terdapat satu (1) kes warganegara Guinea dan dikesan dan disahkan postif EVD di Senegal, namun tiada kes tambahan yang dilaporkan di negara Senegal. Kerajaan negara yang terbabit bersama-sama dengan pihak WHO dan lain-lain Pertubuhan Antarabangsa sedang berusaha keras untuk mengawal wabak EVD ini dan mencegah dari berlakunya penularan.
Sehubungan itu, KKM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak perlu risau dengan perkembangan semasa ini dan menasihatkan orang ramai seperti berikut;
a) Buat masa ini para pelawat adalah disarankan untuk menangguhkan perjalanan mereka ke negara-negara dijangkiti EVD kecuali untuk tujuan penting yang tidak boleh dielakkan.
b) Sekiranya perlu meneruskan perjalanan tersebut, para pelawat yang mengunjungi negara-negara yang terlibat adalah dinasihatkan untuk:
- Mengelakkan diri dari melawat isi rumah atau fasiliti kesihatan yang terjejas dengan wabak EVD.
- Tidak sewenang-wenangnya menyentuh barangan yang mungkin telah dicemari dengan cairan badan pesakit seperti darah, najis, air kencing dan sebagainya.
- Mengelakkan dari mendekati atau menyentuh haiwan mati yang ditemui.
- Mengamalkan tahap kebersihan diri dengan sebaik-baiknya dan basuh tangan dengan kerap dan sempurna.
- Untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala demam, sakit otot, sakit kepala, sakit tekak, sakit perut, muntah, cirit birit, ruam dan kelesuan) dalam tempoh 21 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, memaklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat.
KKM akan terus mengukuhkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan penularan penyakit EVD ke dalam negara dengan kerjasama padu dari semua Kementerian serta agensi yang berkaitan. KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat tambahan dan perkembangan semasa mengenai penyakit EVD boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my dan Facebook CPRC.
Sekian dan terima kasih.
DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
17 September 2014
Categories: Blog, Communicable disease, Ebola, Press