Perkembangan sains dan teknologi memang merupakan satu cabaran besar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan. Penjual produk kini dapat memasarkan produk mereka dengan mudah tanpa perlu mempunyai premis perniagaan yang tetap. BPF, KKM memang menyedari trend sebegini dan sentiasa memantau penjualan ubat-ubatan secara atas talian.
Melalui Operasi Pangea yang telah disertai mulai 2012, BPF bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah bekerjasama bagi menyekat dan menutup laman-laman web yang menjual ubat tidak berdaftar secara atas talian. Ini termasuk pemantauan keatas kemasukan produk ubat-ubatan di pintu-pintu masuk negara. Sepanjang Operasi Pangea VII yang dijalankan pada 13 – 20 Mei 2014 sahaja, sebanyak 213 laman web telah disekat, 9007 bungkusan diperiksa dengan 204 daripadanya dirampas bernilai RM 259,346.
BPF juga telah menubuhkan unit khas Digital Forensik Farmasi dalam usaha memerangi penjualan ubat tidak berdaftar secara atas talian. Langkah ini disamping aktiviti-aktiviti sediaada seperti serbuan dan kawalan pengimportan produk di pintu masuk diharap dapat mengurangkan masalah ini.
Maklumat lanjut di http://www.pharmacy.gov.my