Ucapan ini telah disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sempena Majlis Penutup National Convention Forensic Medicine & Science 2014 di Sri Manja Bontique Hotel, Kuantan pada 20 September 2014
Y. Bhg. Dato’ Dr Norhizan bin Ismail
Pengarah
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
Y. Bhg. Dato’ Dr Hajjah Marlia binti Haji Mohammed Salleh
Pengarah
Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan
Y.Brs. Dr Mohd Shah bin Mahmood
Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur
Selaku Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik, KKM
Dr Nor Zaimah binti Mohamad Idris
Ketua Jabatan
Jabatan Perubatan Forensik
Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan
Dato’-dato’, Datin–datin, Pakar – Pakar Perubatan Forensik dan Warga kerja Perkhidmatan Perubatan Forensik
Tuan–tuan dan Puan–puan,
Assalamualaikum w.b.t , salam sejahtera, salam satu Malaysia.
Terlebih dahulu saya mengucap kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya hadir bersama Dato-dato, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan bagi menjayakan Majlis Penutup National Convention of Forensic Medicine & Sciences 2014.
Walau pun hari ini merupakan hari terakhir konvensyen, masih belum terlewat sekiranya saya mengucapkan selamat datang kepada para peserta konvensyen yang datang dari seluruh Malaysia dan juga luar negara. Saya berasa bangga kerana konsyen ini turut melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Universiti, baik sebagai peserta atau pun Penceramah Jemputan.
Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur iaitu, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang dengan kerjasama Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur dan juga Pertubuhan Pendidikan Perubatan Lepas Ijazah (PGMES) HTAA yang bertungkus lumus bagi kejayaan perlaksanaan konvensyen ini. Saya difahamkan bahawa Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus berusaha untuk memastikan satu konvensyen diadakan setiap tahun di peringkat nasional bertempat di negeri-negeri berlainan mengikut giliran. Tahun ini tiba giliran Negeri Pahang sebagai tuan rumah. Ini merupakan satu usaha kerjasama yang amat memberangsangkan bagi tujuan memberi peluang kepada para peserta menimba dan berkongsi ilmu dan pengalaman untuk dipraktikkan di peringkat jabatan / unit masing-masing.
Dato-dato/Datin-datin/Tuan-tuan dan Puan-puan,
Perkhidmatan Perubatan Forensik adalah satu perkhidmatan yang unik dimana didalam satu aspek, “pesakit” adalah mayat/jenazah dan pelanggan yang terlibat secara tidak lansung adalah waris dan ahli keluarga. Dalam satu aspek yang lain pula, perkhidmatan ini juga melibatkan pesakit yang masih hidup – ia itu bagi pengendalian one stop crisis centre contohnya kes gangguan fizikal seperti kecerderaan kanak-kanak, dan kes gangguan seksual.
Seperti kita semua maklum, Perkhidmatan Perubatan Forensik ini dilaksanakan berlandaskan perundangan negara dan perundangan antarabangsa. Kedua2nya digunapakai sebagai rujukan apabila diperlukan atau berkaitan. Justeru itu, dalam melaksanakan aktiviti atau proses kerja yang terlibat terutama prosedur bedahsiasat dan pengumpulan bukti, warga kerja yang terlibat haruslah komited dan berintegriti supaya kerja-kerja yang terlaksana diterima dengan baik tanpa diragui.
Pada masa sekarang Perkhidmatan Perubatan Forensik semakin mencabar dengan insiden-insiden kematian yang luar biasa dan mungkin melibatkan lebih dari satu mangsa (mass disaster). Dalam apapun keadaan, ia memerlukan prosedur bedahsiat dilaksanakan termasuk pengambilan sampel DNA bagi tujuan mengenalpasti identiti mayat/jenazah. Ini dapatkan kita lihat dalam peristiwa insiden Ops Daulat di Sabah (2013) dan yang terbaru untuk tahun ini adalah trajedi nahas MH17. Kini pihak perkhidmatan perubatan forensik juga sedang bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan outcome dari trajedi MH370.
Insiden-insiden seperti yang saya maklumkan menyedarkan masyarakat tentang peranan Perubatan Forensik dalam menangani isu Bencana Ramai Mangsa (Mass Disaster) dan Disaster Victim Identification (DVI). Disini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan syabas kepada pasukan Perubatan Forensik KKM yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam kesemua peristiwa2 tersebut.
Dato-dato/Datin-datin/Tuan-tuan dan Puan-puan,
Perkhidmatan Perubatan Forensik bukanlah satu perkhidmatan yang mudah kerana warga kerja yang terlibat bukan sahaja harus berdepan dengan cabaran tugas hakiki pengurusan mayat/jenazah termasuk prosedur bedahsiasat dan aktiviti yang berkaitan, tetapi perlu juga berdepan dengan kehendak pihak Polis, pihak Mahkamah dan tidak ketinggalan melayani pihak media. Keperluan proses kerja juga meningkat dengan terdapatnya teknologi sains dan perubatan terkini dan kepentingan kualiti kerja. Saya juga ingin mengingatkan semua warga perkhidmatan forensic di KKM, PDRM, ATM dan pihak universities agar sentiasa pastikan kerahsiaan laporan an gambar gambar bedah mayat tidak di muat naik di laman social seperti FB dan sebagainya. Ini adalah satu kesalahan di bawah akta perubatan 1971 dan tidak mahkamah dan tatatertib boleh di kenakan.
KKM sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik, efisien dan selamat berlandaskan perkembangan konsep dan teknologi semasa yang terbukti secara saintifik (evidence based parctice). Dari segi teknologi maklumat, Perkhidmatan Perubatan Forensik KKM sedang memperkembangkan Forensic Medicine Information System (FMIS) secara berperingkat di hospital-hospital yang dikenalpasti sebagai sebahagian dari Pelan Strategik Teknologi Maklumat KKM.
Selain itu, KKM juga telah menyediakan fasiliti CT Assisted Autopsy di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur bagi pemeriksaan bedahsiasat kes Polis secara CT Scan berbanding dengan pemeriksaan bedahsiasat konvensional. Semenjak digunakan pada tahun 2010 sehingga Ogos 2014, sebanyak 2,281 kes telah menggunakan kaedah ini.
Terkini, KKM sedang berusaha untuk menyediakan sebuah Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN). Walau pun konsep pembinaan IPFN telah diluluskan pada tahun 2012, kekangan ekonomi adalah faktor utama dalam melaksanakan perancangan ini.
Dato-dato/Datin-datin/Tuan-tuan dan Puan-puan,
KKM sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan warga kerja dari kategori Pakar-pakar Perubatan sehingga ke kumpulan sokongan. Ini termasuk menyediakan retention package, peningkatan elaun-elaun dan juga laluan kerjaya. Disamping itu, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di IPTA juga ditambah dari 400 ke 600 dan terkini 800 bagi pelbagai disiplin Perubatan. Namum begitu bilangan pegawai yang menyambut peluang ini tidak memberangsangkan. Kadar keciciran semasa tempoh tempoh pengajian juga tinggi. Bagi Sarjana Jurusan Patologi Forensik, buat masa ini seramai 9 orang pegawai sedang mengikuti kursus Sarjana di UKM dan UM. Juga terdapat 5 orang pegawai sedang menjalani DMJPath DI William Harvey Research Institue, Queen Mary University Londan atas tajaan Mara. Insyaallah sekiranya mereka semua berjaya, KKM akan berjaya menambahkan bilangan Pakar Perubatan Forensik sediaada.
Dari segi peluang kenaikkan pangkat, pertimbangan akan dititikberat dari segi pencapaian dan prestasi kerja, penglibatan diperingkat nasional dan antarabangsa, penyelidikan dan juga penghasilan penerbitan (publication). Perancangan teliti juga sedang dilaksanakan bagi memohon pengwujudan jawatan-jawatan yang lebih tinggi contohnya JUSA Khas A bagi Pakar Perubatan Forensikt.
Dalam aspek yang sama, saya juga berharap kerjaya bagi Pegawai Sains (Forensik) juga diberi perhatian kerana mereka inilah yang menjayakan Perkhidmatan Perubatan Forensik di makmal dan lokasi insiden (crime scene investigation). Buat masa ini terdapat seramai 41 orang Pegawai Sains (Forensik) dari gred C41- C44 yang sedang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik di seluruh negara.
Dato-dato/Datin-datin/Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dengan menyertai konvensyen yang telah berlansung selama 3 setengah hari termasuk 1 hari bengkel, saya berharap para peserta telah mendapat manfaat sepenuhnya bukan sahaja dari segi ilmu malah dalam perkongsian pengalaman untuk dibawa balik. Adalah diharapkan ia akan digunakan bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan di tempat bertugas masing-masing kearah kecemerlangan perkhidmatan. Disamping itu, para perserta haruslah menggunakan kesempatan ini untuk mengeratkan dan mengukuhkan jalinan kerja (networking).
Adalah menjadi harapan saya agar mutu kualiti dan profesionalisme Perkhidmatan Perubatan Forensik negara akan sentiasa berada ditahap yang cemerlang dan dikenali serta diakui di peringkat antarabangsa.
Akhir kata, saya doakan semoga perjalanan anda untuk kembali bertugas dan bertemu keluarga masing-masing selamat hendaknya. Berhati-hati semasa memandu dan ingatlah orang yang tersayang.
Dengan lafaz “BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM” saya dengan rasminya menutup NATIONAL CONVENTION OF FORENSIC MEDICINE & SCIENCES 2014.”
Terima kasih.
Categories: Blog, Hospital Services, Speech