Communicable disease

Kenyataan Akhbar KP Kesihatan: Kesiapsiagaan KKM menghadapi potensi penularan Ebola

STATUS KESIAPSIAGAAN DAN RESPON KKM BAGI MENGHADAPI POTENSI PENULARAN VIRUS EBOLA DI MALAYSIA

Situasi kejadian wabak penyakit virus Ebola (Ebola virus disease; EVD) yang melanda beberapa buah negara di Afrika Barat masih dipantau secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Situasi tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Beberapa kes telah mula dilaporkan di luar Afrika seperti kes import pertama di Amerika Syarikat yang dilaporkan pada 24 September 2014 dan terkini pada 6 Oktober 2014 di Sepanyol melibatkan seorang anggota kesihatan.

Sehubungan itu, KKM akan terus memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan penyakit EVD ke dalam negara. Adalah amat penting semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pengurusan kes jangkitan EVD memahami dengan jelas definisi kes PUI (Person Under Investigation) EVD atau disyaki EVD yang digunakan. Ini adalah untuk memastikan pengamal perubatan dapat mengenalpasti kes PUI EVD, merujuk kes disyaki ke hospital yang dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya. Langkah-langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya adalah penting bagi mencegah sebarang penularan kes EVD dalam negara.

Definisi kes PUI-EVD yang digunakan melibatkan kriteria dari aspek klinikal dan epidemiologikal. Dari aspek klinikal, ia meliputi pengesanan gejala demam dengan gejala tambahan seperti sakit kepala, sakit otot, muntah, cirit birit, sakit perut atau pendarahan dan aspek epidemiologikal, iaitu sejarah risiko pendedahan sepanjang tempoh 21 hari sebelum individu terbabit mula bergejala, seperti berikut:

a) mempunyai kontak langsung dengan cairan badan atau mayat individu lain yang diketahui menghidap EVD atau disyaki menjangkiti penyakit tersebut;
b) mempunyai sejarah perjalanan atau merupakan masyarakat dari tempat yang melaporkan penularan jangkitan EVD yang aktif; Atau
c) terlibat dalam mengendalikan secara langsung kelawar atau sebarang jenis haiwan lain yang berpotensi menyebabkan jangkitan di kawasan endemik EVD.

Kes definisi ini digunakan untuk mengenalpasti PUI EVD (disyaki EVD) tidak hanya terhad kepada warga Afrika tetapi juga warganegara Malaysia atau warganegara lain yang mempunyai sejarah tinggal, bekerja atau melawat ke negara dijangkiti. Buat masa ini negara-negara yang paling terjejas dengan jangkitan (senarai negara terlibat akan disemak dari semasa ke semasa berdasarkan laporan daripada pihak WHO) adalah:-

i. Guinea
ii. Liberia
iii. Sierra Leone
iiii. Nigeria

KKM telah mengenalpasti sebanyak 21 buah hospital dari seluruh negara untuk menerima rujukan kes PUI-EVD untuk tujuan pengurusan awal dan pengesahan jangkitan. Bagi kes yang disahkan positif jangkitan EVD melalui ujian makmal pula, akan dirawat di tiga (3) buah hospital khas yang dikenalpasti iaitu Hospital Sungai Buloh bagi Semenanjung Malaysia, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu Sabah dan Hospital Umum Kuching Sarawak. Sebanyak 20 makmal di hospital dari seluruh negara telah dikenalpasti untuk menjalankan ujian rutin bagi pengurusan kes PUI-EVD. Manakala sebanyak tiga (3) makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan EVD iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

KKM juga sentiasa menilai status kesiapsiagaan dan respons dari semasa ke semasa dengan mengadakan latihan simulasi di pelbagai peringkat KKM di mana buat masa ini empat (4) sesi latihan simulasi telah diadakan dan terkini latihan simulasi EVD yang dianjurkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) peringkat Western Pacific Regional Office pada 8 Oktober 2014.

KKM mempertingkatkan kerjasama rapat dengan berbagai kementerian dan agensi yang berkaitan (multi-sectoral collaboration) dalam usaha mencegah penularan penyakit EVD ke dalam negara. Terkini pada 8 Oktober 2014 satu mesyuarat interagensi telah diadakan yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia bagi menerangkan situasi semasa wabak EVD dan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap agensi yang berkaitan bagi membantu KKM dalam mencegah kemungkinan jangkitan dan penularan EVD di Malaysia.

Sekian dan terima kasih.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
12 Oktober 2014

IMG_2878.JPG

1 reply »

  1. Assalammualaikum YBhg Datuk.Cadangan saya agar latihan simulasi dan kesiapsiagaan Ebola turut diminta untuk dijalankan di klinik atau pusat kesihatan universiti awam seluruh negara.Justifikasi:kemasukan,pengambilan dan kepulangan semula pelajar antarabangsa terutama dari Afrika Barat bagi program pasca siswazah adalah sepanjang tahun.Kakitangan kesihatan di pusat kesihatan universiti kebiasaannya adalah first-line team bagi pemeriksaan kesihatan bagi kemasukan pendaftaran pelajar-pelajar ini yg kebiasaannya dilakukan tidak lama selepas mereka tiba ke Malaysia,dan juga sebagai yg pertama untuk merawat mereka (dan ahli keluarga) sekiranya sakit memandangkan klinik-klinik universiti menyediakan perkhidmatan kesihatan pada kadar minima kepada para pelajar.Saya merasakan universiti dan kolej merupakan antara institusi berisiko tinggi,dan memandangkan fakta kes indeks tempatan di Dallas yg dikatakan berpunca dari kecuaian “not having a high index of suspicion” bagi kes dan ketidaksempurnaan PPE,tidak mustahil ia boleh berlaku di tempat-tempat berisiko yang lain. Saya akan sentiasa bersama-sama KKM dan YBhg Datuk bagi membendung kemasukan wabak ini.Wassalam.

    Like

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s