KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
STATUS KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KKM BAGI MENGHADAPI PENULARAN WABAK PENYAKIT VIRUS EBOLA (EVD) KE DALAM NEGARA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa melalui laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan situasi kejadian wabak penyakit virus Ebola (Ebola virus disease; EVD) yang melanda di tiga (3) negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone masih lagi tidak menunjukkan keadaan terkawal. Sehingga 12 Oktober 2014, pihak WHO melaporkan sejumlah 8973 kes EVD (meliputi kes suspected, probable dan confirmed) dengan 4484 kematian di negara-negara dengan penularan jangkitan yang meluas tersebut.
Negara-negara dengan penularan jangkitan yang terkawal, iaitu Nigeria, Senegal, Amerika Syarikat dan Sepanyol melaporkan sejumlah 24 kes EVD (meliputi kes suspected, probable dan confirmed) dengan 9 kematian. Hasil aktif survelan berterusan yang dilakukan oleh Nigeria dan Senegal, kesemua kontak telah selesai melalui tempoh 21 hari pemantauan dan pihak WHO memaklumkan bahawa tiada kes baru yang dilaporkan. Pihak WHO juga memaklumkan sekiranya kedua-dua negara tersebut melepasi tempoh 42 hari (dua tempoh inkubasi) dan tiada kes baru dikesan pihak WHO akan mengisytiharkan wabak tamat dan ia merupakan berita baik di mana wabak Ebola ini hanya terhad berlaku di tiga (3) negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
Adalah dimaklumkan juga, sehingga kini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan ke negara-negara yang terlibat serta selain dari kontak atau kes EVD, masyarakat dari negara yang dijangkiti tidak dikenakan sebarang sekatan untuk melakukan perjalanan di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, sebagai langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon KKM yang berterusan, berbagai pengukuhan telah dilaksanakan di berbagai peringkat fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. Adalah amat penting semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pengurusan kes jangkitan EVD memahami dengan jelas definisi kes PUI (Person Under Investigation) EVD atau disyaki EVD yang digunakan. Ini adalah untuk memastikan pengamal perubatan dapat mengenalpasti kes PUI EVD, merujuk kes disyaki ke hospital yang dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.
Selain dari itu, yang paling penting adalah amalan pencegahan dan kawalan infeksi yang betul dan rapi oleh semua anggota di semua peringkat fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang mengendalikan kes PUI EVD bagi mengelakkan dari mendapat jangkitan dan seterusnya penularan penyakit.
KKM berusaha keras menjalankan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi penularan jangkitan EVD dan antaranya adalah;
i. National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan terus mempertingkatkan survelan penyakit dan memantau perkembangan status kejadian EVD di Afrika Barat serta menyelaras kesiapsiagaan dan respon KKM bagi menghadapi penularan penyakit EVD.
ii. EVD adalah salah satu penyakit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PCID) 1988. Selain dari notifikasi dilakukan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, notifikasi ini juga perlu dihantar kepada CPRC Kebangsaan. Pemantauan yang dijalankan sehingga 15 Oktober 2014, terdapat sembilan (9) kes PUI EVD telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan. Ujian pengesanan ke atas sampel klinikal pesakit telah dijalankan dan mendapati semua kes PUI EVD tersebut adalah negatif kepada EVD.
iii. Anggota di semua peringkat KKM termasuk di pintu masuk antarabangsa negara terus diberikan penerangan berkaitan pengurusan kes yang disyaki dijangkiti dengan menggunakan tatacara sebagaimana yang digariskan, meliputi proses pelaporan /notifikasi melalui saluran yang telah dikenalpasti dengan kadar segera kepada CPRC Kebangsaan, Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dan Jabatan Kesihatan Negeri. Terkini adalah edaran tatacara khusus yang telah dikemaskini dan diedarkan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Kesihatan (bertarikh 29 September 2014), seterusnya diikuti satu sesi taklimat berkaitan telah diadakan pada 9 Oktober 2014 di peringkat kebangsaan.
Wakil yang hadir dari setiap Jabatan Kesihatan Negeri / Wilayah Persekutuan seterusnya adalah dikehendaki mengadakan sesi taklimat serupa di peringkat masing-masing bagi memastikan hebahan maklumat terkini menyeluruh melibatkan setiap peringkat.
iv. Garispanduan pengurusan kes EVD di hospital juga telah ditambahbaik, terutama dari aspek bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas anggota kesihatan yang mengendalikan kes EVD.
v. Aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk negara juga telah diperkukuhkan bagi memastikan pelawat warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai sejarah melawat, bekerja atau belajar di negara dijangkiti EVD melalui saringan kesihatan. Kerjasama dari pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah penting bagi merujuk pelawat yang berkaitan kepada pihak kesihatan di pintu masuk negara.
vi. Maklumat berkaitan penyakit EVD dan nasihat kesihatan telah disalurkan kepada orang awam secara berterusan melalui media massa seperti kenyataan akhbar Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, wawancara melalui televisyen dan radio, laman web KKM, CPRC facebook dan edaran maklumat melalui kementerian dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan lain-lain bagi membantu KKM mencegah penularan penyakit ke dalam negara.
vii. KKM telah mengenalpasti sebanyak 21 buah hospital dari seluruh negara untuk menerima rujukan kes PUI-EVD untuk tujuan pengurusan awal dan pengesahan jangkitan. Bagi kes yang disahkan positif jangkitan EVD melalui ujian makmal pula, akan dirawat di tiga (3) buah hospital khas yang dikenalpasti iaitu Hospital Sungai Buloh bagi Semenanjung Malaysia, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu Sabah dan Hospital Umum Kuching Sarawak.
viii. Sebanyak 20 makmal di hospital dari seluruh negara telah dikenalpasti untuk menjalankan ujian rutin bagi pengurusan kes PUI-EVD. Manakala sebanyak tiga (3) makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan EVD iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.
ix. Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) yang khusus di daerah bersedia untuk diaktifkan sekiranya terdapat pemakluman kes yang disyaki EVD.
x. Stockpile Personal Protective Equipment (PPE) bagi menghadapi wabak dipertingkatkan untuk menampung keperluan di semua fasiliti kesihatan terlibat dan cara penggunaan PPE yang betul dilatih secara berterusan kepada anggota kesihatan.
xi.Buat masa ini, sebanyak enam (6) sesi latihan simulasi berkaitan pengendalian kes EVD di lapangan telah diadakan di pelbagai peringkat KKM untuk menilai dan memperkukuhkan status kesiapsiagaan serta respons bagi menghadapi potensi penularan EVD di Malaysia. Selain dari itu, Malaysia turut terlibat dalam latihan simulasi EVD yang dianjurkan oleh pihak WHO di peringkat Western Pacific Regional Office pada 8 Oktober 2014.
xii. KKM mempertingkatkan kerjasama rapat dengan berbagai kementerian dan agensi yang berkaitan (multi-sectoral collaboration) dalam usaha mencegah penularan penyakit EVD ke dalam negara. Pada 8 Oktober 2014 satu mesyuarat interagensi telah diadakan yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia bagi menerangkan situasi semasa wabak EVD dan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap agensi yang berkaitan bagi membantu KKM dalam mencegah kemungkinan jangkitan dan penularan EVD di Malaysia.
KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat tambahan dan perkembangan semasa mengenai penyakit EVD boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my dan Facebook CPRC.
Datuk Seri Dr S.Subramaniam
Menteri Kesihatan Malaysia
17 Oktober 2014
Categories: Communicable disease, Ebola, Press