Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga kini kekal seramai 30 mangsa kejadian letupan lombong arang batu yang sedang diberikan rawatan di Sarawak. KKM akan berusaha sedaya upaya agar setiap mangsa diberikan rawatan yang terbaik dengan mengambilkira keperluan kepada perawatan khusus di hospital-hospital yang mempunyai kepakaran tertentu.
Sehubungan itu, KKM dengan kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menyelaraskan pengurusan pemindahan pesakit yang memerlukan perawatan khusus dengan menggunakan pengangkutan udara ke hospital-hospital yang mempunyai kemudahan perawatan kepakaran tertentu di negeri Sabah dan Semenanjung Malaysia bermula semenjak 23 November 2014 lagi.
Pada hari ini, satu pasukan perubatan terdiri daripada sepuluh (10) orang anggota KKM (4 pakar perubatan kecemasan dan 6 paramedik) bersama-sama dengan dua (2) orang pakar daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menguruskan pemindahan seramai enam (6) orang pesakit dari Hospital Umum Sarawak ke beberapa hospital dengan kemudahan “Burns Unit” di Semenanjung Malaysia. Pasukan ini telah berlepas dari Lapangan Terbang TUDM, Subang pada jam 7.00 pagi ke Sarawak untuk memindahkan pesakit pada hari yang sama ke hospital di Semenanjung Malaysia dengan kemudahan kepakaran tersebut iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Hospital Universiti Sains Malaysia Kelantan, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star Kedah, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh Selangor.
Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam pengurusan pemindahan pesakit. KKM juga akan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik mungkin kepada mangsa yang memerlukannya.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
25 Novembet 2014
Categories: Uncategorized
1 reply »