KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA
Bagi Minggu 5/2015 (1 hingga 7 Februari 2015)
Bagi tahun 2015, kes denggi didapati meningkat setiap minggu dan pada minggu kelima sahaja sebanyak 3,037 kes denggi dengan 8 kematian dilaporkan. Sejumlah dua (2) negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang 40 kes (60.6%) dan Kedah 4 kes (19%).
Jumlah kumulatif kes denggi sehingga 7 Februari 2015 adalah 15,039 kes iaitu meningkat sebanyak 59% atau 5,586 kes berbanding tempoh yang sama tahun 2014 iaitu 9,453 kes. Manakala jumlah kumulatif kematian denggi adalah sebanyak 44 kematian berbanding 17 kematian tahun 2014 dengan peningkatan sebanyak 158.8%.
Analisa Kementerian Kesihatan masih menunjukkan 166 hotspots (61.7%) daripada 269 hotspots masih mempunyai kadar pembiakan Aedes melebihi 1%. Situasi ini sangat kondusif untuk penyebaran virus denggi terus berlaku disebabkan vektor (Nyamuk Aedes). Sebanyak 61% daripada tempat pembiakan Aedes didapati dirumah kediaman. Oleh itu aktiviti membersihkan kediaman masing-masing setiap minggu perlu dilakukan.
Setiap individu perlu melindungi diri dari gigitan nyamuk di waktu puncak gigitan iaitu awal pagi dan senja dengan menggunakan repelan atau pakaian berlengan panjang atau seluar panjang dan pada waktu yang sama, semua digalakkan menyembur aerosol pembunuh nyamuk di dalam rumah atau lain-lain kaedah yang dapat mengurangkan risiko gigitan Aedes seperti ubat nyamuk lingkaran, repellan nyamuk elektrik dan sebagainya.
Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Denggi dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan yang diadakan pada 12 Februari 2014, turut memutuskan beberapa langkah meningkatkan aktiviti kawalan denggi pelbagai agensi. Aktiviti penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan dengan kompaun maksimum RM 500.00 bagi setiap kesalahan pembiakan dan didakwa di mahkamah bagi kes-kes berulang. Lindungi diri dan keluarga anda dari dijangkiti Demam Denggi. Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sesawang idengue atau facebook CPRC Kementerian Kesihatan.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
13 Februari 2015
Categories: Communicable disease, Dengue, Press