UCAP BALAS KETUA PENGARAH KESIHATAN KKM BAGI MAJLIS MENANDATANGANI MOU ANTARA BPFK DENGAN MFRDB, INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA PADA 16 FEBRUARI 2015
YBhg. Dato’ Dr. Abdul Latif Mohmod
Ketua Pengarah FRIM
YBhg Dato’ Eisah A.Rahman
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
En. Tan Ann Ling
Pengarah Regulatori Farmasi
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
Dr. Mohd Nor Yusof
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan)
Dato-Dato, Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,
Assalamualaikum w.b.t., Salam Sejahtera dan Salam Sihat 1Malaysia.
Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan berkat izinNya, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaaan (BPFK) dan Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) atau FRIM dapat dijalankan pada hari ini, setelah sekian lama ianya dibincangkan bersama dan dirancang oleh kedua-dua pihak.
Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan,
Pendekatan Strategi Lautan Biru atau Blue Ocean Strategy telah diperkenalkan sebagai satu pendekatan kreatif baru yang digunakan oleh Kerajaan untuk melaksanakan sesuatu dengan lebih cepat, tepat dan murah. Maka, idea di sebalik strategi ini adalah untuk memaksimumkan impak penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian untuk mencipta nilai tambah dan lonjakan dalam pembangunan negara pada kos yang rendah dan kelajuan yang lebih tinggi. Inisiatif ini akan memberi nilai cipta dan nilai tambah dalam tempoh masa yang pendek.
Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan amat berbangga dapat bekerjasama dengan FRIM, institusi-institusi penyelidikan dan akademia dari universiti-universiti tempatan dalam strategi lautan biru ini untuk membantu menjayakan industri herba sebagai salah satu projek entry point (EPP1 – High Value Herbal Products) di bawah NKEA: Pertanian melalui penerbitan Monograf Herba Malaysia (MHM).
Monograf ini memberi fokus kepada herba tempatan yang berpotensi ke pasaran global. Ia adalah satu sumber rujukan yang komprehensif kepada pihak industri untuk mengawal kualiti bahan-bahan mentah herba berubat ke arah penghasilan produk-produk herba dan tradisional tempatan yang selamat dan berkualiti tinggi serta berdaya saing yang menepati spesifikasi atau keperluan antarabangsa.
Penerbitan Monograf Herba Malaysia sebelum ianya menjadi salah satu agenda NKEA telah merangkumi tiga jilid iaitu Monograf Herba Malaysia Vol. 1 (1999), Vol. 2 (2009) dan juga Vol. 3 (2013) yang masing-masingnya mengandungi 20 spesies herba.
Setelah NKEA diperkenalkan, hasil penerbitan Monograf Herba Malaysia di bawah projek NKEA untuk tahun 2013 telah menghasilkan 10 spesies herba (antaranya Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mas Cotek) dan untuk tahun 2014 pula telah menghasilkan 15 spesies herba (antaranya Kesum, Ulam Raja dan Senduduk). Kesemua monograf-monograf spesies herba ini telah dimuatnaik di laman sesawang http://www.globinmed.com dan kompilasi monograf ini turut akan diterbitkan dalam bentuk hardcopy.
Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
Kerjasama di antara BPFK dan FRIM tidak terhenti setakat penerbitan monograf. BPFK turut bekerjasama dengan FRIM untuk mengenalpasti markers bagi tumbuhan – tumbuhan tempatan yang tidak dirangkumi dalam monograf. Pada masa yang sama, pihak BPFK dan FRIM turut sama terlibat dalam aspek capacity building untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berkemahiran. Bagi menjayakan hasrat tersebut, beberapa seminar dan bengkel telah diadakan pada tahun 2013 dan 2014, dan akan terus dirancang dan dijalankan dari semasa ke semasa.
Selaras dengan matlamat negara untuk menghasilkan produk-produk herba yang berkualiti, selamat dan berdaya saing, BPFK turut menerokai peluang kerjasama dengan FRIM dalam bidang autentikasi secara botani dan kimia serta lain-lain ujian keselamatan untuk bahan mentah herba yang menepati spesifikasi MHM atau keperluan antarabangsa.
Saya percaya, kerjasama di antara BPFK dan FRIM akan bertambah kukuh dengan termetrainya MoU ini dan akan terus erat demi kepentingan rakyat dan juga negara Malaysia, insya Allah. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada BPFK dan FRIM atas usaha untuk mengadakan MoU ini.
Dengan itu, saya sudahi dengan lafaz Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
16 Februari 2015
Categories: Pharmacy, Research & Publication