MESYUARAT PETUGAS KHAS DENGGI PERINGKAT KEBANGSAAN Bil.5/2015
20 MAC 2015
Daripada pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu kesepuluh tahun 2015, iaitu bagi tempoh 8 Mac sehingga 14 Mac 2015, sejumlah 2,275 kes telah dilaporkan berbanding dengan 2,643 kes minggu sebelumnya, iaitu menurun sebanyak 368 kes (13.9%) . Sejak 4 minggu yang lepas telah terdapat trend penurunan kes yang dilaporkan setiap minggu.
Sehingga 18 Mac 2015, jumlah kumulatif kes Denggi dilaporkan adalah 30,033 kes, berbanding 21,111 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 42% (8,922 kes). Manakala terdapat sebanyak 95 kematian, berbanding 50 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2014, iaitu meningkat sebanyak 45 kematian (90%).
Pelbagai usaha untuk mengurangkan kes, wabak dan kematian denggi akan diteruskan. Ini termasuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan iaitu Ops Gempur Tapak Binaan yang ditumpukan di negeri Selangor. Hasil aktiviti Ops Gempur dari 10 Februari hingga 14 Mac 2015 mendapati daripada 111 tapak binaan yang telah diperiksa, sebanyak 95 atau 86% daripadanya mempunyai pembiakan Aedes dan kesemuanya ini akan didakwa di mahkamah. Sebanyak 80 atau 72% tapak binaan telah diberi perintah penutupan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Pegawai penguatkuasa sedang turun ke dalam Lift Shaft untuk membuat pemeriksaan di mana terdapat air bertakung dalam lift Shaft tersebut.

Tempat pembiakan ditanda dengan kod bagi memudahkan untuk Pegawai Pendakwa membuktikan pembiakan di mahkamah
Bagi menangani kematian denggi yang terus meningkat, para pakar klinikal telah mengadakan mesyuarat pada 12 Mac 2015 bagi menangani peningkatan kematian denggi. Penambahbaikan terhadap pengurusan kes telah dikenalpasti dan akan dijalankan serta merta.
Adalah diharapkan semua kementerian dan agensi akan terus berusaha untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan denggi dan mesyuarat ini akan dapat memperkukuhkan aktiviti kawalan denggi secara bersepadu. Peranan agensi lain amat diperlukan dan berharap agensi lain tampil memberikan cadangan atau bersama-sama menjalankan aktiviti pencegahan Denggi di bawah bidang kuasa masing-masing.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
20 Mac 2015
Categories: Communicable disease, Dengue