Communicable disease

SITUASI SEMASA INFLUENZA A (H1N1) DAN KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 

SITUASI SEMASA INFLUENZA A(H1N1) DAN KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

  1. SITUASI SEMASA INFLUENZA A(H1N1)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara di dunia tidak lagi memantau jangkitan virus influenza A (H1N1) secara khusus serta tiada keperluan bagi mana-mana negara untuk melaporkan kejadian kes influenza A (H1N1) kepada WHO. Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat influenza A(H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain.

Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin. Ia menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan, namun semua jenis virus Influenza boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes). Demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit (contagious), di mana penularan menjadi mudah berlaku di tempat-tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera dan polis.

(KKM) ingin memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian kes disyaki disebabkan influenza A (H1N1) yang dilaporkan melalui media masa mengenai seorang kanak-kanak berumur 10 tahun dari Melaka. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kes telah mengalami demam pada 9 April 2015 serta mendapatkan rawatan awal dari sebuah klinik swasta pada hari yang sama. Pada 10 April 2015, kes telah mengalami gejala batuk, muntah dan cirit birit seterusnya telah mendapatkan rawatan susulan dan dimasukkan wad di sebuah hospital swasta. Pada hari yang sama kes telah mendapat sawan di dalam wad hospital swasta. Pemeriksaan CT Brain dan MRI menunjukkan terdapat tanda-tanda jangkitan radang otak (encephalomyelitis). Keadaan pesakit tenat dan telah dirawat di unit rawatan rapi hospital tersebut dan diagnosanya adalah Viral Encephalitis associated with Influenza A (H1N1) infection. Pada malam 14 April 2015, kes telah dibawa pulang oleh keluarga dan pada pagi ini (15/04/2015) KKM telah dimaklumkan bahawa kes telah meninggal dunia.

Tindakan yang telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka adalah:

  1. Saringan kesihatan (active case detection) telah dilakukan kepada kontak kes di mana tiada kes-kes lain di kalangan kontak dilaporkan.
  2. Aktiviti kawalan dan pencegahan telah dilakukan di rumah dan sekolah kes tersebut seperti kerja-kerja pembersihan dan aktiviti disinfeksi.
  3. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit ini telah diberikan serta risalah juga telah diedarkan.

KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat. Ia berkesan kepada semua jenis influenza dan juga penyakit-penyakit berjangkit yang lain. Bagi mereka yang mempunyai gejala Influenza-Like-Illness (ILI) adalah dinasihatkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai manakala golongan berisiko tinggi perlu mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran dan digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi influenza A (H1N1) yang kini berada di pasaran.

  1. SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia. Penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Sehingga hari terakhir minggu epid 14/2015 (11 April 2015), sejumlah 13,497 kes HFMD telah dilaporkan dengan purata  kes dilaporkan seminggu di seluruh negara sebanyak 964 kes. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 83% jika dibandingkan dengan minggu yang sama pada tahun 2014 di mana sebanyak 7,368 kes telah dilaporkan dengan purata mingguan sebanyak 526 kes.

Negeri Sarawak menyumbangkan jumlah kes terbesar setakat ini berbanding negeri lain iaitu 6,333 kes (46.9%), diikuti oleh Selangor 2,727 kes (20.2%), Johor 919 kes (6.8%), WPKL 661 kes (4.9%), Perak 642 kes (4.8%) dan Sabah 593 kes (4.4%), sementara negeri-negeri lain kurang dari 400 kes. Pada tahun 2015, Negeri Johor melaporkan sebanyak 919 kes iaitu peningkatan kes HFMD sebanyak 410 kes (81%) tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2014 (509 kes). Manakala satu kes kematian disyaki HFMD telah dilaporkan di negeri Johor dan pihak kementerian masih menunggu keputusan daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sg. Buloh, Selangor.

Hasil pemantauan 120 sampel virus HFMD sehingga 7 Mac 2015 oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan pula mendapati 39 sampel (32%) positif virus Enterovirus 71 (EV 71) dan 14 sampel (12%) positif virus Coxsackie A16.

Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang mengidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa 7 ­ke 10 hari. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti ensefalitis dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.

Penyakit HFMD ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran. Jangkitan penyakit HFMD berlaku apabila manusia terdedah kepada kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit.  Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kecil kurang dari 10 tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
  4. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
  7. Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengadakan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

15 April 2015

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s