KEJADIAN KLUSTER MENINGOENCEPHALITIS DI PUSAT LATIHAN TENTERA DARAT (PUSASDA), PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 images

KEJADIAN KLUSTER MENINGOENCEPHALITIS 

DI PUSAT LATIHAN TENTERA DARAT (PUSASDA), PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin melaporkan mengenai dua (2) kes yang mengalami gejala meningoencephalitis di Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua kes merupakan perajurit muda yang kini sedang menjalani latihan di pusat tersebut semenjak sebulan lalu. Mereka adalah merupakan rakan sebilik. Gejala awal dilaporkan oleh kedua-dua kes adalah demam dan kekejangan otot pada kaki. Kedua-dua kes menerima rawatan awal di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson pada 14 April 2015. Buat masa ini, kes pertama sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Port Dickson dan kes kedua di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur. Mereka kini berada dalam keadaan stabil. Pihak KKM sedang berusaha untuk mengenalpasti punca sebenar di sebalik gejala jangkitan yang dilaporkan oleh kedua-dua kes tersebut.

Tindakan pencegahan dan kawalan telah dilaksanakan oleh Pasukan Kesihatan dan Perubatan di lapangan dan setakat ini seramai 16 orang pelatih (yang merupakan rakan sebilik kepada kedua-kedua kes) telah disaring. Daripada jumlah tersebut, seramai sepuluh (10) orang pelatih didapati mengalami demam, batuk dan sakit kepala, di mana mereka telah diasingkan di bilik khusus di pusat tersebut dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Sampel klinikal telah diambil dari para pelatih yang bergejala dan sampel tersebut dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani ujian selanjutnya.

help_meningitisPasukan Kesihatan dan Perubatan kini sedang giat melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan berikut di Pusat Latihan tersebut;

  1. Aktiviti penyahjangkitan (disinfection) melibatkan kawasan persekitaran pusat latihan;
  2. Pemantauan kesihatan harian terhadap anggota kerja pusat latihan dan para pelatih. Mereka yang menunjukkan gejala jangkitan akan diasingkan di bilik khusus di pusat tersebut dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Seterusnya jika terdapat keperluan, rujukan ke hospital akan dilakukan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut;
  3. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kerja pusat latihan dan para pelatih turut diperkukuhkan;
  4. Edaran penutup hidung dan mulut (mask) kepada anggota kerja pusat latihan dan para pelatih yang terlibat.

Meningoencephalitis adalah radang yang berlaku secara sekaligus melibatkan otak dan selaput yang meliputinya. Pesakit akan mengalami gejala-gejala klinikal seperti demam, sakit kepala, loya dan muntah. Gejala meningoencephalitis secara umumnya berlaku akibat jangkitan bakteria, virus atau mungkin juga protozoa. Jangkitan ini biasanya berlaku secara sporadik dan risiko berlaku kluster jangkitan adalah tinggi di tempat kepadatan tinggi seperti kem tentera, asrama dan penjara. Oleh itu risiko kepada orang awam bagi kluster yang sedang berlaku di PUSASDA ini adalah amat rendah.

brain-feverKKM akan terus memantau situasi kejadian kluster ini dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan bekerjasama rapat dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi semasa kejadian kluster terbabit, seterusnya memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 April 2015

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s