KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENGHANTARAN PAKAR PERUNDING KESIHATAN AWAM
KE SIERRA LEONE BAGI MEMBANTU MENGAWAL WABAK EBOLA
Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima permintaan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal bulan Februari 2015 untuk membantu dalam mengawal wabak Ebola di Afrika, terutama di Sierra Leone.
Dua orang Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Rosemawati Ariffin dan Dr Rahim Sulong yang telah menjalani latihan Epidemic Intelligence Program (EIP Malaysia) telah dikenalpasti. Mereka terlebih dahulu terpaksa menjalani saringan daripada segi kompetensi dan ketahanan daya diri di Ibu Pejabat Western Pacific Region Office (WPRO) WHO di Manila. Setelah lulus menjalani saringan selama dua hari, mereka seterusnya menjalani latihan intensif selama seminggu sebelum dihantar secara berperingkat ke Sierra Leone untuk bertugas di dalam pasukan WHO selama enam (6) minggu bersama dengan pakar-pakar dari negara lain.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Rosemawati Ariffin

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Rahim Sulong
Dr Rosemawati dijadualkan mula bertugas dari 15 April 2015 dan Dr Rahim akan bertolak pada awal bulan Jun 2015. Semasa di EIP Malaysia, mereka telah menerima latihan kesiapsiagaan dan respons yang telah membantu mereka melepasi saringan awal di Manila. Semasa di Manila mereka telah didedahkan kepada persiapan dan tatacara kerja di lapangan, kawalan keselamatan, kawalan infeksi, peradaban dan tingkahlaku rakyat setempat dan penerangan mengenai penularan wabak Ebola di Afrika dengan lebih mendalam. Mereka dimestikan menjalani pemeriksaan perubatan yang lengkap termasuk menerima vaksin Yellow Fever, Diphtheria-Tetanus, Typhoid, Hepatitis A and B, Meningitis ACYW 135 dan Rabies. Oleh kerana Sierra Leone merupakan negara endemik Malaria dan penyakit bawaan vektor yang lain, mereka dimestikan sentiasa mengamal keselamatan dan kebersihan diri dan membawa medical kit dan toilet kit di mana sahaja mereka berada.
Sebagai Pakar Epidemiologi di lapangan, mereka akan ditugaskan memantau dan mencari kes dan kontak dari rumah ke rumah, memberi rawatan simptomatik bagi yang tidak dimasukkan ke hospital, memberi penerangan mengenai penjagaan diri dan persekitaran dan mengendali mandian mayat kes positif. Mereka juga terlibat dalam pengumpulan dan penganalisaan data epidemiologi.
Kementerian Kesihatan merasa amat bangga kerana Dr Rosemawati dan Dr Rahim mempunyai kompetensi dan kepakaran yang dikehendaki dan terpilih setelah menjalani saringan dan latihan yang intensif. Semasa di Sierra Leone, mereka akan berdepan dengan risiko yang tinggi kerana penyakit Ebola mempunyai kadar jangkitan dan kematian yang tinggi, tambahan pula keadaan infrastruktur yang serba kekurangan. Namun Kementerian Kesihatan amat yakin dengan keupayaan mereka dan berharap mereka berkerja dengan penuh iltizam. Kami juga berdoa agar mereka sentiasa selamat dan berada dalam kesihatan yang baik.
Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 April 2015
Link yang berkaitan Ebola:
Outbreaks and Emergencies: Ebola Virus Disease (EVD)
Fact Sheet: Ebola Virus Disease
Ebola Outbreak Surge Capacity Recruitment
Categories: Communicable disease, Ebola, Press
Tahniah kepada kedua-dua Pakar Perubatan Kesihatan Awam tersebut. Anda membuktikan Malaysia juga setanding dengan lain-lain negara di dunia.
LikeLike