HFMD: SITUASI SEMASA DI MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia. Penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Bermula Minggu Epid pertama tahun 2015, bilangan kes HFMD dilaporkan di seluruh negara ialah 446 kes per minggu. Kes mencapai ke paras tertinggi pada Minggu Epid ke 10 (15 – 21 Mac 2015) iaitu 1,290 kes per minggu. Selepas itu ia mula menunjukkan tren penurunan dan pada Minggu Epid 16 (19-25 April 2015) kes HFMD yang dilaporkan ialah 858 per minggu. Negeri yang telah melepasi paras amaran (paras yang ditetapkan berdasarkan jumlah kes HFMD pada tahun lepas di negeri masing-masing) ialah Johor, Sabah, Perak, Sarawak, dan Selangor. Negeri yang terlibat telah diarahkan meningkatkan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit HFMD.

Negeri Sarawak menyumbangkan jumlah kes terbesar setakat ini berbanding negeri lain iaitu 7,040 kes (46.4%), diikuti oleh Selangor 3,044 kes (20.1%), Johor 1,130 kes (7.4%), WPKL 739 kes (4.9%), Perak 718 kes (4.7%), Sabah 714 kes (4.7%) dan Pulau Pinang 402 kes (2.6%), sementara negeri-negeri lain kurang dari 400 kes.

Bagi negeri Selangor, Minggu Epid ke 2 mencatatkan kes tertinggi iaitu 269 kes per minggu dan pada Minggu Epid 16 (19-25 April) bilangan kes ialah 161 per minggu. Dimaklumkan satu wabak HFMD telah dilaporkan di SRJK (C) Lick Hung, USJ 19 di Selangor. Bilangan kes HFMD yang telah dikenalpasti adalah 18 kes di mana onset kes pertama adalah pada 30 Mac 2015. Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar.

Tindakan-tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut:

  1. Penutupan kelas yang terlibat untuk tujuan pembersihan bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD.
  2. Pencucian premis sekolah telah dijalankan pada 27 dan 28 April 2015 bersama pihak sekolah dan PIBG sekolah.
  3. Taklimat berkaitan HFMD dan langkah-langkah pencegahan telah diberikan kepada guru-guru dan ibubapa pelajar pada 28 April 2015.
  4. Setiap bilik darjah disediakan hand sanitizer untuk digunakan oleh murid-murid.
  5. Pihak sekolah akan melakukan pemantauan gejala HFMD ke atas murid-murid secara harian dan mengenalpasti pelajar yang tidak hadir ke- sekolah.
  6. Murid-murid yang dikesan menghidap gejala HFMD akan dirujuk kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

11159464_10152712812766237_8989067514559506469_nPenyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ­ke sepuluh (10) hari. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kecil kurang dari sepuluh (10) tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
  4. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
  7. Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengadakan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

11149446_10152688181456237_5345376931084469096_nBerdasarkan pada data survelan, jumlah kes akan memuncak setiap tiga (3) tahun. Kes puncak tertinggi berlaku pada tahun 2012 iaitu sebanyak 34,519 kes HFMD dengan satu (1) kematian. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seperti di atas adalah amat penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun 2015. KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan Malaysia

29 April 2015

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s