KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI DAN LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN TERHADAP INFLUENZA A (H1N1)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara di dunia tidak lagi memantau jangkitan virus Influenza A (H1N1) secara khusus serta tiada keperluan bagi mana-mana negara untuk melaporkan kejadian kes Influenza A (H1N1) kepada WHO. Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat Influenza A (H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain.
Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin. Ia menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan, namun semua jenis virus Influenza boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes). Demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit (contagious), di mana penularan menjadi mudah berlaku di tempat-tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera dan polis.
Rantau beriklim sederhana (temperate regions) seperti Negara Amerika Syarikat, mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas, dengan kemuncak penularan yang selalunya berlaku pada musim sejuk. Ini berbeza dengan rantau tropika (seperti Malaysia), di mana tiada musim penularan influenza yang jelas atau dengan kata lain, ianya berlaku sepanjang tahun.
Sebagai langkah – langkah kesiapsiagaan, KKM melakukan pemantauan situasi influenza di negara ini bagi mengesan kejadian luar biasa melalui Influenza Surveillance System (MISS) termasuk Influenza-like Illness (ILI) ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (sARI) dan juga pesakit dengan jangkitan saluran pernafasan yang teruk yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau jenis virus influenza di Malaysia. Berdasarkan survelan influenza yang dijalankan di 300 fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia, didapati tiada kejadian luarbiasa bagi influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) serta Influenza A (H1N1) menyumbang hanya 8% daripada circulating virus di Malaysia.
Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat. Ia berkesan kepada semua jenis Influenza dan juga penyakit-penyakit berjangkit yang lain. Bagi mereka yang mempunyai gejala Influenza-Like-Illness (ILI) adalah dinasihatkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai dan perlu mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran. Manakala golongan berisiko tinggi digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi Influenza A (H1N1) yang kini berada di pasaran.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
14 Mei 2015
Categories: Communicable disease, Press