SITUASI SEMASA WABAK LEPTOSPIROSIS DI BERHULU CAMP, HUTAN LIPUR SERTING ULU, JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

KENYATAAN AKHBAR

TIMBALAN KETUA PENGARAH KESIHATAN (KESIHATAN AWAM)

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

SITUASI SEMASA WABAK LEPTOSPIROSIS

DI BERHULU CAMP, HUTAN LIPUR SERTING ULU,

JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

 

Adalah dimaklumkan bahawa satu wabak leptospirosis telah berlaku  di Berhulu Camp, Hutan Lipur Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan yang melibatkan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

Hasil siasatan mendapati bahawa 50 orang pelajar (24 pelajar tingkatan 4 dan 26 pelajar tingkatan 5) yang terdiri dari 18 pelajar lelaki dan 32 pelajar perempuan telah menghadiri perkemahan di kawasan rekreasi tersebut pada 08 Mei 2015 sehingga 10 Mei 2015. Perkemahan ini dibuat pada waktu hujung minggu. Kes pertama mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit sendi, sakit otot dan batuk pada 14 Mei 2015. Sehingga 01 Jun 2015, sebanyak 15 kes telah menunjukkan gejala penyakit yang sama.

Sejumlah 14 kes telah menerima rawatan pesakit luar klinik kesihatan dan dibenarkan pulang. Satu lagi kes iaitu seorang pelajar lelaki tingkatan 5 telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar pada 25 Mei 2015. Pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi dan kegagalan organ utama dipercayai akibat jangkitan leptospirosis. Kes ini telah meninggal dunia di ICU pada 29 Mei 2015. Pesakit telah menunjukkan gejala demam, sakit sendi,sakit otot, batuk dan loya bermula pada 21 Mei 2015 dan dilaporkan mengambil rawatan di klinik kesihatan pada 25 Mei 2015 sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar pada hari yang sama. Sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian pengesahan penyakit dan sedang menunggu keputusan tersebut.

Tindakan kawalan dan pencegahan bagi menangani wabak leptospirosis telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan Pejabat Kesihatan Daerah Jempol antaranya:

  1. Membuka bilik gerakan wabak untuk pemantauan kes dan pemberian post exposure chemoprophylaxis kepada pelajar yang terdedah;
  2. Membuat pensampelan air dan tanah di Berhulu Camp;
  3. Membuat penilaian risiko dan pemeriksaan katerer yang membekalkan makanan semasa aktiviti perkhemahan; dan
  4. Memberikan pendidikan kesihatan mengenai penyakit leptospirosis kepada guru, ibu bapa dan pelajar yang terlibat dengan aktiviti perkhemahan melalui nasihat individu serta edaran risalah dan poster.
  5. Pemeriksaan persekitaran telah dijalankan dan didapati kebersihan kawasan rekreasi tidak memuaskan. Penutupan telah dilakukan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Kerjasama pelbagai agensi telah digerakkan di peringkat daerah terdiri daripada Pejabat Daerah Jempol, Majlis Daerah Jempol, Jabatan Hutan, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan Operator Kem telah digerakkan melalui mesyuarat koordinasi pada 1 Jun 2015. Satu gotong-royong besar-besaran akan diadakan bagi memastikan kebersihan kem dan juga Hutan Lipur yang terletak bersebelahan kem tersebut.

IMG_5862Leptospirosis adalah suatu penyakit berjangkit daripada haiwan yang dijangkiti oleh bakteria Leptospira kepada manusia (penyakit zoonotik). Penyakit Leptospirosis berlaku di seluruh dunia dan adalah endemik (boleh dijumpai di merata tempat) di negara-negara beriklim tropika. Kejadian leptospirosis dilaporkan berlaku dari masa ke semasa di negara-negara tersebut termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, penjagaan kebersihan persekitaran dan premis adalah penting dalam pencegahan leptospirosis. Di sini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya:

  1. Menjaga kebersihan persekitaran rumah/premis, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain. Sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna;
  2. Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam/ sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna. Elakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau aliran air/ sungai yang perlahan;
  3. Elakkan daripada minum air sungai/ kolam yang tidak dimasak;
  4. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun;
  5. Memilih premis makanan yang bersih dan elakkan daripada mengunjungi mana-mana premis makanan yang kotor; dan
  6. Bagi orang awam yang terdedah kepada risiko penyakit leptospirosis melalui pekerjaan dan aktiviti rekreasi supaya mengambil langkah-langkah berikut;
  • Memakai pakaian perlindungan yang kalis air seperti but getah dan sarung tangan;
  • Menutup luka-luka kulit dengan balutan yang kalis air;
  • Mencuci dengan air bersih selepas pendedahan; dan
  • Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala penyakit.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR LOKMAN HAKIM BIN SULAIMAN

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)

Kementerian Kesihatan Malaysia

1 Jun 2015

IMG_5863

IMG_5864

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s