KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
KESIAPSIAGAAN DAN RESPON KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DALAM MENGHADAPI
KEJADIAN GEMPA BUMI DI SABAH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, telah menerima maklumat dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di negeri Sabah pada 5 Jun 2015, jam 07.15 pagi. Kejadian ini dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri Sabah iaitu Ranau, Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran dan Papar. Dianggarkan terdapat seramai 189 pendaki gunung dan 103 orang pekerja iaitu malim, ‘potter’ dan pekerja yang lain yang berada di puncak Gunung Kinabalu. Dilaporkan terdapat mangsa yang terperangkap di Gunung Kinabalu dan sehingga pukul 11.30 malam seramai 129 orang yang sedang turun dari gunung Kinabalu. Dimaklumkan juga seramai 58 pendaki telah selamat tiba di kaki gunung Kinabalu. Seramai 2 orang mangsa dilaporkan meninggal dunia iaitu seorang warganegara Malaysia dan seoarang warganegara asing.
Seterusnya KKM telah mengaktifkan Bilik Gerakan di CPRC Kebangsaan dan Bilik Gerakan di CPRC Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi menyelaras dan memantau aktiviti kesiapsiagaan dan respon oleh KKM. Satu pasukan perubatan dan kecemasan (Emergency Medical Response Team – EMRT) yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kecemasan bersama bersama dengan pasukan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain pasukan penyelamat telah mendaki ke puncak Gunung Kinabalu untuk memberikan bantuan makanan, pakaian dan rawatan. Manakala satu lagi pasukan EMRT yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kecemasan berada di kaki Gunung Kinabalu di Sabah Park untuk merawat mangsa-mangsa yang tiba di kaki gunung.
Pasukan Perubatan dan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth, Hospital wanita dan Kanak-kanak Sabah, Hospital Ranau dan Hospital Tuaran telah diaktifkan dengan serta merta bagi membantu memberikan rawatan perubatan dan kecemasan yang diperlukan. Manakala Hospital Queen Elizabeth, Hospital Ranau dan Hospital Tambunan pula bersiapsedia bagi menerima kemasukan pesakit yang terlibat dengan kejadian ini. Pasukan Forensik juga telah diaktifkan dan bersiapsedia untuk memberikan perkhidmatan pada bila-bila masa diperlukan. Pasukan Kesihatan Awam dan Pasukan Kesihatan Mental dan Psikososial Respon (MHPRT) juga telah diaktifkan dan bersedia untuk dimobilisasikan pada bila-bila masa yang diperlukan.
Sehingga 11.30 malam tadi seramai 21 mangsa dilaporkan telah menerima rawatan di hospital-hospital iaitu 6 orang mangsa di Hospital Ranau, seorang mangsa di Hospital Tuaran dan 14 orang mangsa di Hospital Gleneagles (hospital swasta). Seramai 3 orang mangsa diberi rawatan pesakit dalam di Hospital Gleneagles dan yang lain adalah hanya rawatan sebagai pesakit luar.
Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti perubatan dan respons supaya perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diberikan. Semoga semua pendaki, mangsa dan ahli keluarga kejadian ini, berada dalam keadaan selamat dan diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi situasi ini.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
5 Jun 2015
Categories: Crisis & Disaster, Press