RESPON KKM TERHADAP ISU HOMEBIRTH DAN ANTI-VAKSIN

Kepada:

Editor

The Malaysian Insider

RESPON KKM TERHADAP ISU HOMEBIRTH DAN  ANTI-VAKSIN

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merujuk kepada surat terbuka bertarikh 5 Jun 2015 yang ditujukan kepada YB Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia daripada En. Zakaria Zakwan Zailani yang telah dipanjangkan melalui The Malaysian Insider. Terima kasih di atas perkongsian pendapat yang diberikan.

Bidang Perubatan dan Kesihatan khususnya dalam sektor awam memberi perkhidmatan kepada pelbagai strata masyarakat yang mencecah 65 juta kedatangan pesakit luar dan 3 juta kemasukan ke hospital setahun. Sehingga kini, walaupun hanya 10% daripada jumlah keseluruhan klinik kerajaan dan swasta yang mempunyai penempatan doktor tetap adalah di bawah kementerian, lebih daripada 50% daripada beban pesakit luar adalah di klinik kesihatan kerajaan. Tambahan lagi, 70% kemasukan ke hospital adalah di sektor awam.

Tidak dinafikan bidang perubatan adalah sangat luas dan kompleks kerana meliputi pelbagai jenis perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan. Tanggungjawab berat ini tidak terhenti dengan isu home birth, vaksinasi mahupun isu doktor wanita sahaja yang sering disensasikan dan dilihat seperti meluas dan bermasalah. Sebagai contoh, ianya termasuk mencegah penularan penyakit ke dalam negara seperti MERS-CoV mahupun Ebola, membenteras Denggi yang banyak meragut nyawa, mengurangkan kematian disebabkan gejala penyakit kardiovaskular atau kanser, memastikan kesihatan kanak-kanak, warga sekolah, dewasa, remaja dan warga emas dipelihara dengan baik daripada peringkat penjagaan kesihatan primer hinggalah ke sekunder dan tertiar. Tidak kurang penting, kesihatan persekitaran dan keselamatan makanan kian mencabar dan sentiasa mendapat perhatian global.

Seringkali para anggota dihadapkan dengan cabaran untuk memberi perkhidmatan dalam krisis dan kecemasan yang melibatkan bukan sahaja seorang nyawa pesakit, malah satu komuniti atau populasi. Saya percaya doktor-doktor muda dan anggota kesihatan akan dapat menghadapi tekanan kerja dengan sentiasa berbincang, rajin memperkayakan ilmu dan melihat isu secara holistik dan sentiasa ikhlas menjalankan tugas dengan penuh keyakinan dan kompeten. Kecemerlangan anggota kita menangani bencana seperti banjir besar pada akhir tahun lalu dan mengekang perebakan MERS-CoV di Malaysia daripada kes pertama yang diimport pada April 2014 (berbanding apa yang berlaku di Korea kini) adalah antara manifestasi kecemerlangan perkhidmatan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Merujuk kepada isu-isu yang dibangkitkan, ianya tertumpu kepada dua isu penting yang sering dibincangkan melalui media iaitu home birth dan anti-vaksin.

Isu home birth – Kelahiran tidak selamat

Berdasarkan definisi daripada World Health Organization (WHO), “kelahiran selamat” (safe delivery) ialah kelahiran yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih (skilled health personnel). Malaysia telah mencapai peratus kelahiran selamat sebanyak 98% semenjak tahun 2009 – pencapaian yang setanding dengan negara maju. Peratus kelahiran di rumah didapati menurun daripada 24.8% pada tahun 1990 kepada 1.7% pada tahun 2012.

Di Malaysia, selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang terlatih di dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran. Ini termaktub di dalam Act 436 Midwives Act 1966 Part V Section 14(1) yang menyatakan:

Any person who, not being a midwife registered under this Act, practices midwifery, shall be guilty of an offence and shall be liable on conviction to a fine not exceeding two thousand ringgit or to imprisonment for a period not exceeding one year or to both.”

Screenshot 2015-06-10 18.36.10

KKM memandang serius tentang pengaruh dan advokasi pro-natural birthing atau gentle birthing yang telah dilakukan oleh beberapa kumpulan tertentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Situasi ini boleh menyumbang kepada kelahiran tidak selamat, dan seterusnya memudaratkan ibu dan bayi baru lahir.

Susulan daripada itu, pada awal tahun 2014 KKM telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan yang melibatkan Ketua-ketua Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi dan Pediatrik, Penasihat Undang-Undang, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Lembaga Bidan Malaysia dan beberapa pihak lain yang berkaitan dengan objektif untuk menangani pengaruh yang membawa kepada kelahiran tidak selamat di negara ini.

Antara langkah-langkah yang telah diambil :-

  • Perbincangan dengan kumpulan gentle birthing bagi memahami isu yang ingin diketengahkan dan memberi penekanan tentang kepentingan kelahiran selamat.
  • Mengeluarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertajuk “Langkah-Langkah Bagi Mempertingkatkan Usaha Untuk Mengurangkan Kelahiran Tidak Selamat” pada 13 Mac 2014 yang mengarahkan agar:
  • Semua hospital dan klinik diminta untuk meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dan memberikan maklumat yang tepat mengenai kelahiran selamat kepada masyarakat umum. Antara maklumat penting yang mesti diberikan ialah kepentingan kelahiran selamat, risiko kehamilan dan kelahiran serta fasiliti tempat bersalin.
  • Semua Pakar Obstetrik/Pakar Perubatan Keluarga/Pegawai Perubatan/Anggota Jururawat yang mengendalikan ibu hamil, adalah diminta untuk berbincang dengan klien dan pasangan beliau mengenai perancangan tempat bersalin berdasarkan status kesihatan klien serta memberi nasihat sewajarnya.
  • Bagi kes-kes yang memilih untuk bersalin di rumah, semua anggota diarah untuk mengendalikan ibu mengikut Garis Panduan Pengurusan Ibu Hamil Yang Memilih Untuk Bersalin Di Rumah dan Garis Panduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu dan Bayi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Arahan telah dikeluarkan kepada semua fasiliti kesihatan supaya semua kelahiran tidak selamat mesti dilaporkan sehingga ke peringkat KKM untuk tujuan pemantauan dan penambahbaikan.

Isu Anti vaksin

Gerakan anti-vaksin bukan perkara baru. Ramai telah mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin selama beberapa dekad, terutama sekali apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin mula hilang.

Di Malaysia penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan tetanus jarang berlaku dan kes polio telah tiada semenjak tahun 2000. Ini kerana liputan program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun adalah melebihi 95%.

Kebanyakan daripada mereka yang anti-vaksin adalah mereka yang tidak mendapat informasi atau tidak mahu menerima maklumat betul dan tepat berdasarkan bukti saintifik. Sebagai contoh, isu vaksin MMR (measels, mumps, rubella) telah dikaitkan dengan autism pada tahun 1998. Banyak kajian susulan telah membuktikan keputusan kajian awal tersebut tidak benar. Walaupun Journal Lancet telah membatalkan kajian awal itu secara rasminya pada tahun 2010, namun masih ada pihak yang membangkitkan isu negatif ini dalam media sosial.

KKM sedar akan gerakan anti-vaksin dan penggunaan media sosial dalam menyebarkan pendapat mereka. Bagi menangani isu ini, kita perlu bertindak dengan bijak. Menentang mereka yang tidak mahu memberi imunisasi kepada anak mereka tidak akan mengubah cara mereka berfikir. Yang paling penting adalah memberi maklumat betul secara konsisten dan berulang kepada semua lapisan masyarakat.

Dengan itu, antara usaha yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu masyarakat gambaran sebenar tentang keperluan imunisasi adalah;

  1. Memberi pendidikan kesihatan melalui media masa dan media sosial
  2. Mengadakan seminar dan dialog berkaitan imunisasi di peringkat negeri bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  3. Mengeluarkan kenyataan bersama dengan pihak JAKIM bagi menjelaskan keraguan isu halal terhadap vaksin tersebut.
  4. Menyediakan fakta-fakta dan informasi tentang vaksin dan imunisasi untuk rujukan masyarakat melalui laman web portal MyHealth
  5. Menyediakan ruang tanya pakar yang boleh digunakan bagi bertanya sebarang pertanyaan berkaitan imunisasi
  6. Berkerjasama dengan persatuan-persatuan tertentu dalam mempromosikan dan memberi maklumat tepat mengenai imunisasi melalui laman web http://www.immunise4life.my/
Screenshot 2015-06-11 13.54.51
Imunisasi Menjadikan Dunia Lebih Selamat

Selain itu, anggota kesihatan diberi latihan dan bahan-bahan pendidikan bagi memudahcara mereka menjawab soalan-soalan yang diajukan serta maklumat dalam memberi ceramah kesihatan kepada ibubapa. Adalah menjadi tugas setiap anggota kesihatan memainkan peranan dalam memberi penjelasan berkaitan vaksin.

Berinteraksi dan menyalurkan maklumat yang betul dan sahih kepada masyarakat merupakan suatu proses yang berterusan dan tidak akan berakhir. Kesukarannya adalah apabila isu ini bersifat cyclical di mana kumpulan home birth dan anti-vaksin ini akan ‘senyap’ apabila berlaku pelbagai komplikasi termasuk kematian.

Screenshot 2015-06-11 14.20.29
‘Perfectly healthy’ baby suffocated in the womb

KKM telah pun mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui Akta Perbidanan 1966 (Akta 436) tetapi pihak ‘doula’ mendakwa bahawa mereka tidak terlibat secara aktif di dalam proses kelahiran seperti yang ditakrif di dalam Akta, sebaliknya hanya memberikan sokongan moral dan motivasi. Walaubagaimanapun, sekiranya berlaku komplikasi dan kematian, waris atau wanita yang melahirkan itu sendiri boleh mempertimbangkan tuntutan sivil di mahkamah terhadap ‘doula’ itu sekiranya terdapat bukti bahawa komplikasi atau kematian adalah akibat tindakan atau kelakuan ‘doula’ tersebut.

Screenshot 2015-06-11 13.38.22
From 1 January 2016, ‘conscientious objection’ will be removed as an exemption category for child care payments (Child Care Benefit and Child Care Rebate) and the Family Tax Benefit Part A end of year supplement.

KKM juga sedang meneliti semula Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk memasukkan keperluan pemberian pelalian sebagai satu cara perlindungan hak kanak-kanak dan pencegahan penyakit. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, mereka juga mula melihat kepada akta dan regulasi untuk menghadapi masalah ini. Sebagai contoh, pada 12 April 2015 kerajaan Australia telah mengumumkan Polisi No Jab, No Pay di mana ibubapa yang enggan memvaksinasi anak-anak mereka akan hilang kelayakan menerima bantuan kebajikan penjagaan kanak-kanak dan Family Tax Benefit Part A End-of-year supplement yang boleh bernilai sehingga AUD $11,000 (± RM32,000) setahun. Polisi baru ini akan berkuatkuasa di Australia pada 1 Januari 2016.

Adalah diharapkan semua warga kerja di sektor kesihatan akan terus menerus memberikan nasihat dan maklumat yang sahih demi kepentingan keselamatan pesakit dan masyarakat. Namun adalah diingatkan agar ianya perlulah disampaikan dengan cara yang berhemah dan professional.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

11 Jun 2015

3 Comments Add yours

  1. nina yusof says:

    Terima kasih kepada pihak KKM di atas keluaran penyata ini. As health workers we are always accountable to any medical errors yet these doulas walk freely whenever complications due to homebirths exists.It is high time that we stand up firmly on this issue for once and for all, rather than being passive and observant. Doctors and health professionals must remain united in this stance and use the existing legislations to bring justice to those who died in the careless hands of these untrained doulas.

    Like

  2. Docid says:

    …mempertimbangkan tuntutan sivil di mahkamah terhadap ‘doula’ itu sekiranya terdapat bukti bahawa komplikasi atau kematian adalah akibat tindakan atau kelakuan ‘doula’ tersebut…

    Datuk,
    Many thanks for your statement on these two crucial matter.. regarding the above quoted sentence,i sincerely hope that the phrase “tindakan atau kelakuan” would involve “kecuaian, misinformation (deliberate or not), and negligence”

    Kudos!

    Like

  3. afiela khan says:

    terima kasih datuk. penjelasan berhemah tanpa menuduh sesiapa.

    ‘Adalah diharapkan semua warga kerja di sektor kesihatan akan terus menerus memberikan nasihat dan maklumat yang sahih demi kepentingan keselamatan pesakit dan masyarakat. Namun adalah diingatkan agar ianya perlulah disampaikan dengan cara yang berhemah dan professional.

    warga kerja di sektor kesihatan semuanya terpelajar bukan? dan ibu2 di rumah, tidak semuanya terpelajar..kalau pun mereka golongan terpelajar, mereka lebih mudah dipengaruhi emosi sebab ini melibatkan diri sendiri dan anak2.

    jadi apa kata warga kerja di sektor kesihatan, terutamanya doktor2 dan jururawat, mula memberi didikan kepada ibubapa secara profesional dan berhemah. dalam kata mudah, hentikan menghina/menyindir/berleter tak tentu pasal kepada ibubapa. sebaliknya jelaskan sejelas yg mungkin. ibu bapa mungkin bukan golongan terpelajar tetapi mereka punyai akal fikiran! kalau awal2 dah diherdik nurse, memang minda akan tertutup terus. kalau tengah sakit disindir2 doktor, kemarahan dan kebencian akan meluap2 jadi apa sekalipun yang doktor berkenaan jelaskan selepas itu xkan sampai! doktor dan jururawat adalah golongan terpelajar, so please act like it!

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s