MERS-CoV: TIADA KES POSITIF BARU DIKESAN DI MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

STATUS TERKINI KEJADIAN WABAK MERS-CoV DI NEGARA-NEGARA TIMUR TENGAH DAN REPUBLIK KOREA SERTA KESIAPSIAGAAN DAN RESPON KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Screenshot 2015-06-15 06.28.45
A South Korean hospital suspended most services on Sunday after being identified as the epicenter of the spread of a deadly respiratory disease that has killed 15 people since being diagnosed in the country nearly four weeks ago

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada keratan akhbar The Rakyat Post, Borneo Post dan di media sosial pada 14 Jun 2015 mengenai kejadian seorang pesakit yang sedang menerima rawatan dan disyaki Patient Under Investigation (PUI) Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) di Hospital Miri, Sarawak. KKM ingin mengesahkan bahawa pesakit tersebut, seorang wanita warganegara Brunei Darussalam telah keluar meninggalkan Hospital Miri tanpa kebenaran daripada pakar perubatan yang memberikan rawatan ke atas pesakit berkenaan.

Dimaklumkan pada 11 Jun 2015, pesakit bersama ahli keluarga telah datang ke Miri, Sarawak untuk tujuan lawatan. Pada 12 Jun 2015, pesakit mengalami demam, batuk dan sesak nafas dan telah dibawa ke salah sebuah Hospital Swasta di Miri. Namun begitu, mengambilkira pesakit mempunyai sejarah mengerjakan umrah dan pulang pada 22 Mei 2015, beliau telah dirujuk ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut bagi kes disyaki PUI MERS-CoV. Hasil siasatan, pesakit dilaporkan telah mula menunjukkan tanda dan gejala batuk dan demam bermula pada 7 Jun 2015. Di Hospital Miri, sampel klinikal telah diambil untuk ujian makmal pengesanan MERS-CoV dan sedang menunggu keputusannya, walaupun hasil siasatan menunjukkan pesakit hanya mengalami gejala beberapa hari selepas tamat tempoh inkubasi penyakit tersebut.

Pada hari yang sama, ahli keluarga telah memohon agar pesakit dipindahkan ke sebuah hospital di Brunei Darussalam. Pihak Hospital Miri telah menasihatkan agar pesakit terus menerima rawatan di hospital tersebut sehingga menerima keputusan ujian makmal dan kesihatan pesakit semakin pulih. Pada 12 Jun 2015 jam 7.15 petang, pesakit telah bertindak keluar dan meninggalkan Hospital Miri tanpa kebenaran. Sehubungan dengan itu, pihak Hospital Miri telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pesakit untuk melengkapkan siasatan dan rawatan lanjut.

Hasil kerjasama rapat di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam, maklumat terkini yang diperolehi adalah pesakit telah dimasukkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Brunei Darussalam pada 12 Jun 2015 dan keputusan ujian MERS-CoV yang dijalankan pada 13 Jun 2015 di hospital tersebut dilaporkan sebagai negatif MERS-CoV dan buat masa ini beliau dirawat untuk jangkitan kuman di paru-paru.

KKM juga ingin merujuk kepada kes PUI MERS-CoV, warganegara Malaysia berumur 78 tahun yang meninggal dunia semasa berada dalam penerbangan pulang dari Jeddah dan tiba di KLIA pada 11 Jun 2015 petang dengan menaiki pesawat Saudi Airlines. Semasa ketibaan di Malaysia, jenazah telah dirujuk ke Hospital Serdang untuk siasatan lanjut penyebab kematian. Hasil daripada siasatan maklumat yang diperolehi mendapati semasa pesakit mengerjakan umrah, beliau telah dimasukkan ke Hospital di Tanah Suci kerana mengalami batuk dan kesukaran bernafas. Beliau telah dirawat sebagai Acute Exacerbation of Chronic Obstructive Airway Disease (COAD) with lung fibrosis dan dibenarkan pulang ke Malaysia dengan ditemani anak dan seorang Jururawat. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati ujian ke atas sampel klinikal jenazah adalah negatif kepada ujian MERS-CoV dan kematian adalah disebabkan oleh Obstructive lung disease.

KKM akan terus memantau perkembangan situasi jangkitan MERS-CoV yang sedang berlaku di negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea. Melalui maklumat yang diterima daripada pihak WHO (World Health Organisation) sehingga 13 Jun 2015, sejumlah 1301 kes yang telah disahkan MERS-CoV termasuk sekurang-kurangnya 458 kematian yang dilaporkan di semua negara-negara yang dijangkiti. Dari jumlah tersebut sejumlah 138 kes yang telah disahkan dijangkiti MERS-CoV termasuk 14 kematian telah dilaporkan di Republik Korea.

Screenshot 2015-06-15 06.13.30
The South Korean government’s failure to share information quickly with the public and establish an efficient disease-control system contributed to worsening the outbreak of Middle East respiratory syndrome in the country, a joint panel of experts from the World Health Organization and South Korea

KKM juga ingin memaklumkan bahawa bermula dari Januari 2013 sehingga kini, pihak KKM melalui CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre) telah menerima sejumlah hampir 805 notifikasi kes PUI MERS-CoV dari seluruh negara. Kesemua 804 kes PUI MERS-CoV yang dinotifikasikan disahkan sebagai bebas dari jangkitan MERS-CoV melalui ujian makmal yang telah dijalankan, kecuali satu (1) kes positif yang terdahulu dikesan pada bulan April 2014.

Screenshot 2015-06-15 05.48.19
Report on Laboratory-confirmed case of MERS-CoV infection in Malaysia: preparedness and response, April 2014 (www.eurosurveillance.org)

Pelbagai aktiviti kesiapsiagaan dan respons terus dipertingkatkan di semua peringkat KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan tersebut ke dalam negara. Maklumat terkini mengenai gejala penyakit MERS-CoV dan perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut boleh diperolehi dengan melayari lawan sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia di http://www.moh.gov.my dan juga melalui facebook CPRC Kebangsaan.

KKM sentiasa ingin menasihatkan orang ramai mengenai perkara-perkara berikut:

  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman;
  2. Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitiser) untuk digunakan apabila perlu;
  3. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut;
  4. Khusus bagi para pelawat ke negara di Semenanjung Arab, semasa dalam tempoh lawatan:
  • Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta.
  • Elakkan dari minum susu unta mentah atau air kencing unta.
  • Elakkan dari makan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna, terutama sekali daging unta.
Screenshot 2015-06-15 06.06.11
Unta disyaki antara punca utama MERS-CoV

Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera serta memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran bernafas). Sebaik mengalami gejala tersebut, hadkan pergaulan dengan individu sihat di sekeliling dan pakai penutup mulut dan hidung (face mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan dengan orang lain.

KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan respon bagi mencegah penularan penyakit ke dalam negara dan dengan kerjasama padu daripada semua pihak dan Kementerian/agensi yang berkaitan akan dapat membantu memperkukuhkan lagi perlaksanaannya.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

15 Jun 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s