KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN
PEMANTAUAN KEBERSIHAN PREMIS MAKANAN DI BAZAR RAMADAN
Kementerian Kesihatan prihatin mengenai kewujudan bazar Ramadan pada setiap kali bulan Ramadan. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan telah memulakan aktiviti pemantauan sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi iaitu dengan menjalankan pemeriksaan di peringkat sumber iaitu meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pada bulan Ramadan, Kementerian Kesihatan terus menjalankan aktiviti pemantauan di bazar-bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara. Di antara aspek keselamatan makanan yang ditekankan semasa pemeriksaan adalah memastikan semua pengendali makanan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan latihan pengendali makanan termasuk mendapat suntikan pelalian anti tifoid, kebersihan pengendali makanan, amalan pengendalian makanan yang baik dan tahap kebersihan gerai. Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual di bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan.
Selain pemeriksaan yang dijalankan, Kementerian Kesihatan juga giat menjalankan beberapa aktiviti promosi berkenaan keselamatan dan kebersihan makanan, antaranya iklan promosi ’Perhati dan Pilih’ melalui saluran radio di sepanjang bulan Ramadan. Aktiviti promosi yang dijalankan bertujuan untuk mendidik pengguna untuk sentiasa peka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa membeli dan memilih makanan di bazar Ramadan untuk mengelakkan keracunan makanan.
Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan makanan. Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kuasa pembeli yang ada pada mereka dengan hanya membeli makanan di premis makanan yang bersih. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang dijual di bazar Ramadan, pengguna boleh memaklumkan Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my/v3 dan juga laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Categories: Food Safety, Press
harap pantau juga kualti kebersihan gerai2 di tepi jalan di sekitar KL/Selangor. Contohnya banyak gerai/restoran di Jalan persiaran Surian Kota Damansara Seksyen 6 Kota Damansara, petaling jaya, selangor. dan byk tempat lain lagi. Adakah lesen diberikan kpd gerai spt itu?
LikeLike
Assalamualaikum wbt En Wan Hamidi,
Gerai di Kuala Lumpur adalah terletak di kawasan bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) manakala gerai di Petaling Jaya terletak di kawasan bawah Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MPPJ). Kedua-duanya mesti mempunyai lesen dari Pihak Berkuasa Tempatan lokasi masing-masing.
Walau bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan memantau kebersihan gerai di Kuala Lumpur manakala Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan memantau kebersihan gerai di Petaling Jaya.
LikeLike