KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA
SEHINGGA MINGGU KE 24 (SEHINGGA 20 JUN 2015)
Sejak enam minggu yang lalu, iaitu bermula dari minggu ke- 19 tahun 2015, pemantauan KKM menunjukkan bahawa kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan kes iaitu daripada 1,400 kes seminggu pada bulan April 2015 kepada purata 2,200 kes seminggu pada bulan Jun 2015. Pada minggu ke-24 tahun 2015, iaitu dari 14 Jun hingga 20 Jun 2015, sejumlah 2,348 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara dan ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 8.6 % berbanding 2,162 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya. Sebanyak tujuh (7) negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor 138 kes (56%), WP Putrajaya 60 kes (43%), Kelantan 3 kes (200%), Sabah 11 kes (61%), Perak 21 kes (13%), Pahang 5 kes (12%) dan Perlis 1 kes (17%).
Daripada Januari sehingga 20 Jun 2015, jumlah kumulatif kes Denggi adalah 53,823 kes berbanding 40,208 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, peningkatan sebanyak 34% (13,615 kes). Manakala untuk kematian denggi pula, bagi tempoh yang sama sebanyak 158 kematian denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 103% berbanding 78 kematian pada tahun 2014.
Bagi tempoh sama, terdapat sebanyak 862 lokaliti wabak dilaporkan di 13 negeri iaitu Selangor (594), Johor (113), Perak (71), Pulau Pinang (35), WPKL & Putrajaya (23), Negeri Sembilan (10), manakala Pahang, Sarawak, Melaka, Perlis, Kelantan, Sabah dan Kedah melaporkan kurang daripada 10 lokaliti. Tiada kejadian wabak dilaporkan di WP Labuan dan Terengganu. Pemantauan KKM juga menunjukkan bahawa terdapat 135 lokaliti hotspot iaitu di Selangor (116 lokaliti), Perak (12 lokaliti) Pulau Pinang (4 lokaliti), Johor (2 lokaliti), dan Kedah (1 lokaliti).
Pada tahun 2014 telah berlaku perubahan serotype (serotype shift) pada bulan Mac dan Julai dan pada tahun ini berlaku lagi perubahan sero type pada bulan April iaitu daripada DEN 1 kepada DEN 2. Namun hanya dalam tempoh sebulan serotype ini berubah semula kepada DEN 1. Daripada analisa KKM, dijangkakan peningkatan kes akan berlaku dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas serotype berubah. Tren peningkatan ini telah mula berlaku pada ketika ini.
Oleh yang demikian aktiviti–aktiviti pencegahan perlu ditingkatkan, seperti aktiviti pembersihan tempat-tempat pembiakan, mempertingkatkan kempen kebersihan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di samping memberikan fokus kepada kempen untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga kebersihan persekitaran. Sehubungan itu, aktiviti kawalan dan pencegahan perlu dilaksanakan oleh semua pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan swasta serta Pihak Berkuasa Tempatan.
KKM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kejadian kes denggi pada masa ini. Salah satu tindakan bersepadu yang dilakukan bersama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) ialah menjalankan aktiviti penguatkuasaan iaitu Ops Gempur Aedes di tapak binaan bermula dari 8 Jun hingga 16 Jun 2015 di negeri Selangor. Hasil Ops Gempur yang telah dijalankan mendapati sebanyak 52 tapak binaan (87%) daripada 60 tapak binaan yang telah diperiksa mempunyai pembiakan nyamuk Aedes dan kesemuanya akan didakwa di mahkamah. Manakala sebanyak 38 tapak binaan telah diarahkan tutup untuk menjalankan kerja- kerja pembersihan.
Sempena bulan Ramadhan ini, penjaja dan juga orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadhan hendaklah menjaga kebersihan kawasan bazar dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes. Di samping itu, PBT juga perlu memastikan kawasan bazar Ramadhan serta kawasan-kawasan tumpuan awam yang lain dibersihkan setiap minggu bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk tersebut.
Bagi mengesan kes denggi lebih awal, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan agar setiap individu yang mengalami simptom demam, sakit badan, sakit sendi, muntah atau sakit kepala untuk segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik berhampiran. Ini kerana rawatan awal akan dapat mencegah komplikasi akibat denggi dan juga mengelakkan daripada berlaku kematian.
Situasi peningkatan kes denggi serta kematian perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk individu dan ketua masyarakat. Ini bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan agar kejadian penyakit dapat dikawal dan dicegah daripada terus berlaku.
YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
24 JUN 2015
Categories: Communicable disease, Dengue, Press