MERS-CoV: KKM Bersiapsiaga di Pintu Masuk Antarabangsa dan Fasiliti Kesihatan

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

STATUS TERKINI DAN KESIAPSIAGAAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA TERHADAP KEJADIAN JANGKITAN MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV)

images

Sehingga 27 Jun 2015, pihak WHO (World Health Organisation) melaporkan sejumlah 1,357 kes yang telah disahkan MERS-CoV termasuk sekurang-kurangnya 485 kematian yang dilaporkan di semua negara-negara yang dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 182 kes yang telah disahkan dijangkiti MERS-CoV (termasuk satu kes yang disahkan dan dilaporkan di China) termasuk 32 kematian telah dilaporkan di Republik Korea. Tiada kes baru dilaporkan di Republik Korea, di mana kes akhir yang dilaporkan kepada pihak WHO adalah pada 27 Jun 2015. Manakala Thailand masih kekal dengan satu (1) kes yang disahkan dijangkiti MERS-CoV. Diharapkan usaha keras negara-negara yang terlibat MERS-CoV yang masih mempunyai transmisi aktif penyakit bersama-sama pihak WHO dapat terus mengawal kejadian yang berlaku dan mengekang penyakit ini daripada menular ke negara-negara lain.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi potensi penularan jangkitan MERS-CoV di Malaysia di setiap peringkat fasiliti kesihatan. Semua Pintu Masuk Antarabangsa di Malaysia juga telah diingatkan semula agar mengedarkan ‘Kad Amaran Kesihatan’ (Health Alert Card – HAC) kepada pelawat yang tiba dari negara terlibat MERS-CoV yang mempunyai transmisi aktif seperti di negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea. Sebagai contoh di pintu masuk Antarabangsa utama negara iaitu KLIA, pihak kesihatan telah mengedarkan HAC di pintu ketibaan (gate) bagi penerbangan yang tiba secara terus dari negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea.

Di peringkat negeri juga telah menjalankan pelbagai aktiviti kesiapsiagaan bagi mempertingkatkan kesedaran (awareness) dan kefahaman berkaitan MERS-CoV serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi di kalangan anggota kesihatan (awam dan swasta) dan orang awam seperti mengadakan ceramah/taklimat, mengedarkan bahan pendidikan kesihatan seperti risalah dan menempatkan bunting di fasiliti kesihatan termasuk Pintu Masuk Antarabangsa, latihan pengurusan kes dan penggunaan Personal Protective Equipment (PPE) kepada anggota kesihatan dan lain-lain. Seterusnya, hebahan maklumat mengenai jangkitan MERS-CoV disampaikan kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya melalui sesi temubual yang melibatkan para pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia melalui media cetak mahupun elektronik, laman web KKM dan Facebook CPRC Kebangsaan.

Bagi membantu meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia berkaitan penyakit ini serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya, diharapkan Kementerian/Agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk agensi pelancongan serta yang berada di Pintu Masuk Antarabangsa Negara dapat memberi kerjasama yang berterusan untuk menyampaikan maklumat berkaitan MERS-CoV dan nasihat kesihatan kepada anggota serta pelanggan di bawah tanggungjawab masing-masing yang ingin pergi ke negara-negara yang terlibat dan yang telah pulang dari lawatan. Maklumat ini juga diberikan kepada jemaah umrah dan bakal jemaah haji yang akan pergi ke Tanah Suci oleh anggota KKM di pelbagai peringkat.

Penularan penyakit MERS-CoV yang dilaporkan di Republic Korea perlu dijadikan panduan dan pengajaran supaya kelemahan yang sama tidak berlaku di fasiliti-fasiliti kesihatan di negara ini. Para pengamal perubatan perlu memberi penekanan kepada sejarah perjalanan pesakit supaya tiada kes pesakit disyaki MERS-CoV (PUI MERS-CoV) yang tidak diberi perhatian sewajarnya untuk tujuan isolasi. Pengasingan pesakit yang disyaki MERS-CoV adalah amat kritikal dari proses awal konsultasi sehingga kemasukan di wad di mana-mana fasiliti kesihatan. Pesakit disyaki MERS-CoV perlu diasingkan daripada pesakit–pesakit lain dan perlu dirawat di bilik isolasi. Anggota kesihatan yang merawat pesakit perlu sentiasa mematuhi semua langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi, menggunakan Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian serta melaporkan segera sekiranya menghidapi tanda-tanda gejala MERS-CoV.

Screenshot 2015-07-02 12.31.28
The Korean hospital clusters and export of an active case to Huizhou, China highlight the importance of implementation of stringent hospital infection control and prevention measures, contact tracing and mandatory quarantine for close contacts, strengthening of public health surveillance in addition to increasing the availability of isolation rooms

Sehingga kini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat, termasuk Republik Korea. Adalah dinasihatkan mereka yang ingin melakukan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti MERS-CoV khususnya yang masih mempunyai transmisi aktif penyakit seperti di negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea untuk patuhi nasihat kesihatan termasuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang tinggi serta elakkan daripada mengadakan lawatan ke ladang-ladang haiwan terutamanya ladang unta. Adalah dinasihatkan juga agar mereka mengelakkan daripada minum air kencing unta atau susu unta mahupun daging unta mentah/tidak dimasak memandangkan buat masa ini pihak WHO masih lagi belum dapat mengenalpasti punca sebenar, cara jangkitan dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan atau ubat khusus untuk merawat penyakit ini.

KKM melalui CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness and Response Centre) akan terus memantau perkembangan penyakit ini dan akan memaklumkan dari masa ke semasa mengenainya. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV juga boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my.

Sekian dan terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

2 Julai 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s