KKM Bersiapsiaga Kemungkinan Jangkitan Rabies di Kalangan Manusia

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA    

PEMANTAUAN KES GIGITAN ANJING DAN HAIWAN LIAR OLEH KKM SEBAGAI KESIAPSIAGAAN MENGHADAPI KEMUNGKINAN JANGKITAN RABIES DI KALANGAN MANUSIA

Screenshot 2015-08-28 17.01.04
Cara jangkitan utama adalah melalui gigitan anjing yang dijangkiti rabies. Read more here

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kejadian kes-kes yang mendapat gigitan anjing di Negeri Perlis. Sehingga 27 Ogos 2015, sebanyak lapan (8) mangsa gigitan anjing telah dilaporkan ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis pada tarikh berlainan yang melibatkan empat (4) ekor anjing. Kelapan-lapan mangsa ini telah diberikan rawatan pesakit luar. Mangsa gigitan anjing yang mempunyai luka atau kesan gigitan pula telah diberikan vaksin rabies. Semua mangsa kes gigitan anjing berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan gejala atau tanda-tanda penyakit tersebut. Untuk makluman, semua kes gigitan anjing ini telah dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis untuk tindakan selanjutnya. Hasil daripada siasatan yang dijalankan, pihak JPV Negeri Perlis telah melaporkan dua (2) daripada empat (4) ekor anjing yang terbabit telah dijangkiti virus rabies.

Screenshot 2015-08-28 17.12.13
Rabies (Penyakit Anjing Gila). Sila baca lebih lanjut di sini
Screenshot 2015-08-28 17.00.21
Key Facts about Rabies

Malaysia melaporkan kes terakhir penyakit rabies di kalangan manusia pada tahun 1998. Laporan kes terakhir jangkitan rabies di kalangan haiwan pula adalah pada tahun 1999. Namun begitu, negara-negara jiran masih melaporkan kes rabies di kalangan manusia dan haiwan. Rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus. Virus rabies ini berjangkit melalui luka gigitan atau luka terbuka pada kulit daripada air liur, cairan atau tisu tubuh haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies. Anjing ini sering agresif dan akan menggigit manusia walaupun tiada provokasi. Pada kebiasaannya anjing yang dijangkiti rabies ini akan mati dalam tempoh 14 hari. Pada manusia, tempoh inkubasi rabies adalah di antara 2 – 12 minggu tetapi terdapat laporan yang melaporkan sehingga 6 tahun. Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma.

Screenshot 2015-08-28 17.05.33
10 Facts about Rabies

JKN Perlis telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini seperti berikut:

  1. Membuka Bilik Gerakan Kawalan dan Pencegahan Rabies di Crisis Preparedness and Response Centre, CPRC JKN Perlis. Bilik Gerakan ini beroperasi bermula pada 22 Ogos 2015 bagi memantau dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan.
  2. Memperkukuhkan pengurusan mangsa (pesakit) terkena gigitan anjing atau haiwan liar.
  3. Pengeluaran health alert kepada pengamal perubatan kerajaan dan swasta berkaitan pengesanan anjing dengan jangkitan rabies dan keperluan membuat notifikasi kes gigitan anjing atau haiwan liar.
  4. Mengukuhkan aktiviti survelan pemantauan kes gigitan anjing atau haiwan liar dan notifikasi kes gigitan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran. Seterusnya PKD akan menotifikasikan kes gigitan ini kepada pihak JPV.
  5. Menyediakan stockpile vaksin rabies dan rabies immunoglobulin (RIG).
  6. Meningkatkan aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit rabies, punca jangkitan dan langkah-langkah pencegahan kepada penduduk tempatan, anggota kesihatan dan anggota JPV.
  7. Meningkatkan hubungan kerjasama dengan pihak JPV terutama daripada segi perkongsian maklumat kes gigitan anjing dan haiwan liar.

Oleh yang demikian, KKM ingin menasihati orang awam yang tinggal negeri Perlis dan kawasan penampan iaitu kawasan sekitar 30 km atau 20 batu dari sempadan negara jiran iaitu di utara meliputi sebahagian negeri Kedah, Perak dan Kelantan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan gigitan anjing atau haiwan liar dan seterusnya daripada dijangkiti penyakit rabies:

  1. Dapatkan rawatan segara ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan anjing atau haiwan liar;
  2. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing atau haiwan peliharaan;
  3. Pastikan anjing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing liar;
  4. Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat JPV setempat; dan
  5. Melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

KKM ingin memaklumkan bahawa buat masa ini TIADA kes rabies yang dilaporkan di kalangan manusia. KKM akan terus memantau kejadian yang berlaku ini dan ingin memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri khususnya negeri yang berada di kawasan penampan telah meningkatkan pemantauan ke atas kejadian kes gigitan anjing atau haiwan liar sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku jangkitan di kalangan manusia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Ogos 2015  

Advertisements

2 Comments Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s