MESYUARAT PASUKAN PETUGAS KHAS DENGGI
BIL. 22 /2015
PADA 1 OKTOBER 2015
Analisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa kes denggi di seluruh negara untuk minggu lepas (iaitu minggu ke-38, dari 20 hingga 26 September 2015) menunjukkan tren penurunan kes. Pada minggu ke-38, sebanyak 1,934 kes denggi dilaporkan berbanding 2,322 kes pada minggu sebelumnya.
Jumlah kumulatif kes demam denggi di seluruh negara dari Januari sehingga 26 September 2015 adalah 89,744 kes, berbanding 74,335 kes bagi tempoh yang sama pada 2014, iaitu peningkatan sebanyak 20.7% (15,409 kes).
Manakala untuk kematian denggi, sebanyak tiga (3) kematian dilaporkan pada minggu lepas. Jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 26 September 2015 adalah sebanyak 244 kematian, berbanding 143 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2014, iaitu meningkat sebanyak 101 kematian (70.6%).
Sehubungan itu, konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang diterapkan melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Denggi ini perlu diteruskan untuk mengekalkan penurunan kes denggi di seluruh negara. Di samping itu, Kementerian dan agensi-agensi lain dipohon meneruskan tindakan pencegahan denggi di peringkat masing masing. Pemantauan rapi dan aktiviti kawalan denggi perlu dilakukan dengan berkesan terutama di peringkat Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Tindakan bersepadu termasuk pelaksanaan “One Stop Centre” untuk penyelarasan aktiviti pencegahan dan kawalan di antara KKM dan PBT hendaklah diteruskan. Tindakan ini adalah untuk memastikan transmisi virus denggi oleh vektor iaitu nyamuk Aedes di kalangan masyarakat dapat diputuskan. Tambahan lagi, segala aktiviti secara bersepadu ini juga perlu dikongsi bersama dalam pelbagai media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Youtube dan lain-lain.
Dasar Aktiviti Kebersihan Nasional akan dibentangkan dalam mesyuarat ini dan Pasukan Petugas Khas Denggi akan memuktamadkannya bagi mendapatkan persetujuaan di peringkat tertinggi di Kementerian masing-masing.
Adalah diharapkan situasi Denggi yang stabil dan menunjukkan penurunan tidak menjadikan kita alpa tetapi akan terus menggiatkan aktiviti pembersihaan persekitaran dan mengerakkan masyarakat untuk mencari dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di kediaman masing-masing.
Terima kasih diucapkan di atas sokongan berterusan dan komitmen daripada semua pihak. Semoga usaha ini akan membuahkan hasil yang lebih baik pada masa akan datang.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
1 Oktober 2015
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue