UCAPAN
YBHG DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SEMINAR “SAYANGI NYAWA HIDUPKAN HARAPAN” 2015
SEMPENA BULAN PENCEGAHAN BUNUH DIRI
1 OKTOBER 2015
DI AUDITORIUM PARCEL E, PUTRAJAYA
i) Yang Berusaha Dr. Chong Chee Kheong
Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar
ii) Yang Berusaha Dr. Toh Chin Lee
Penasihat Perkhidmatan Psikiatri dan Kesihatan Mental
Kementerian Kesihatan Malaysia
iii) Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kesihatan
Yang Berbahagia Dato’-Dato, Datin-Datin,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum wbt, Selamat Pagi dan Salam Sihat 1Malaysia,
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua para peserta ke Seminar “Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan” sempena bulan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2015. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk hadir di upacara Perasmian Seminar ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Menurut Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, “Preventing Suicide, A Global Imperative”, dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun iaitu lebih kurang satu kematian akibat bunuh diri dalam setiap 40 saat. Bagi setiap kejadian bunuh diri, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Ini juga turut menyumbang kepada kecederaan fizikal serta emosi kepada individu yang terlibat dan juga ahli kelurga. Di peringkat global juga, kejadian bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-2 kematian bagi mereka yang berumur 15-29 tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga melaporkan kadar bunuh diri di kalangan lelaki adalah 15.0 bagi tiap 100,000 penduduk dan di kalangan wanita adalah 8.0 tiap 100,000 penduduk.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Negara kita, Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama serta mempunyai pelbagai budaya. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian kesemuanya tidak membenarkan sama sekali perbuatan bunuh diri di kalangan penganutnya. Sungguhpun demikian, di Malaysia, kejadian bunuh diri masih berlaku dan dianggarkan 1 – 2 kejadian bunuh diri setiap hari. Berdasarkan laporan daripada National Suicide Registry Malaysia 2008-2010 sejumlah 1100 kes bunuh diri dilaporkan dengan kadar 1.3 tiap 100,000 penduduk. Walau bagaimanapun, ini hanyalah berdasarkan kepada kes bedah siasat (post mortem) dan statistik sebenar berkemungkinan lebih tinggi.
Tingkah laku bunuh diri meliputi spektrum idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan dan aksi bunuh diri. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2011 menunjukkan prevalen idea bunuh diri dalam kalangan masyarakat dewasa Malaysia adalah 1.7%, prevalen rancangan bunuh diri 0.9% dan prevalen cubaan bunuh diri adalah 0.5%. Didapati dalam kajian ini, risiko tingkah laku bunuh diri lebih tinggi di kalangan mereka berumur 16-24 tahun, wanita dan kaum India.
Tingkah laku bunuh diri boleh berlaku akibat daripada berbagai faktor kompleks yang saling berkait. Antaranya termasuklah gangguan mental terutama kemurungan; penyalahgunaan dadah dan substans; tragedi kehidupan seperti masalah kewangan, hilang pekerjaan, konflik hubungan (perpisahan, penceraian); kemiskinan; penyakit fizikal; serta mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga. Antara cara-cara bunuh diri yang dikenalpasti sering berlaku adalah menggantung diri, terjun daripada bangunan tinggi dan meminum racun rumpai atau racun makhluk perosak (pesticide poisoning). Walau bagaimanapun, keracunan dengan carbon monoxide makin menjadi popular.
Para hadirin yang dihormati,
International Association For Suicide Prevention (IASP) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melancarkan Hari Cegah Bunuh Diri Sedunia pada 10 September setiap tahun semenjak 2003. Tema Cegah Bunuh Diri pada tahun ini adalah “Reaching Out and Saving Lives”. Mesej yang ingin disampaikan adalah bahawa kita perlu menghargai nyawa kita, nyawa ahli keluarga kita, nyawa sahabat handai kita dan nyawa ahli masyarakat di mana sahaja mereka berada. Tema ini menggalakkan kita memainkan peranan menghulurkan bantuan bagi mencegah tingkah laku bunuh diri. Kita perlu hulurkan bantuan dan membantu mereka yang kita sayangi mengharungi cabaran-cabaran hidup agar mereka boleh hidup dalam kegembiraan dan harapan. Sebagai seorang individu, kita boleh membantu sesiapa sahaja yang kita tahu mempunyai niat untuk membunuh diri. Ambil kira keluhan mereka secara serius, ambil masa untuk mendengar, tunjukkan sokongan dan sifat penyayang, memastikan mereka selamat dan bantu mereka dapatkan bantuan pakar sekiranya keadaan tidak bertambah baik.
Walau pun sokongan daripada ahli keluarga dan rakan–rakan amat penting kepada individu yang mepunyai risiko tingkah laku bunuh diri dan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bunuh diri, ia mungkin tidak mencukupi. Kebiasaannya bantuan formal juga diperlukan. Bagi membantu individu-individu yang mempunyai masalah kemurungan dan niat untuk membunuh diri (suicidal ideation), Kementerian Kesihatan menyediakan 45 buah hospital kerajaan di seluruh negara yang memberikan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental dengan sejumlah 224 pakar psikiatri dan 12 pegawai psikologi (klinikal). Terdapat juga seramai 185 orang pegawai psikologi yang ditempatkan di hospital-hospital dan jabatan-jabatan kesihatan kerajaan yang boleh membantu memberi khidmat kaunseling bagi menangani isu-isu kesihatan mental yang dihadapi oleh seseorang individu. Selain itu juga, di peringkat kesihatan primer, lebih daripada 900 klinik kesihatan mempunyai perkhidmatan kesihatan mental yang meliputi aspek promosi, saringan, pengesanan awal dan rawatan. Perkhidmatan di peringkat primer dikendalikan oleh pakar-pakar perubatan keluarga yang juga diberi latihan mengenalpasti dan merawat penyakit kemurungan dan gangguan mental.
Berdasarkan kepada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa inisiatif termasuklah membentuk Pelan Tindakan Strategik Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan 2012-2016 yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Kesihatan pada 5 Jun 2012. Pelan Tindakan ini menggariskan beberapa strategi dalam mencegah tingkah laku bunuh diri antaranya:
- Promosi kesihatan mental : meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang cegah bunuh diri
- Latihan kepada ‘frontliners’ tentang mengenalpasti risiko dan pengendalian pengendalian tingkahlaku bunuh diri
- Kerjasama dengan agensi kerjaan dan bukan kerajaan dalam mempromosikan kesihatan mental
- Menggalakkan pelaporan media yang bertanggungjawab dalam isu-isu cegah bunuh diri (promote reponsible media reporting)
Atas dasar ini juga, Kementerian telah pun membangunkan dokumen berkaitan iaitu Training Module on Suicide Prevention dan Guidelines for Media on Suicide Prevention untuk tujuan tersebut. Strategi-strategi ini amat memerlukan sokongan dan komitmen daripada pentadbir dan kumpulan pelaksana iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Pengarah Hospital, Ketua Program di peringkat negeri, Ketua Jabatan dan pemberi khidmat kesihatan sama ada di hospital atau peringkat primer.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
Tingkah laku bunuh diri adalah masalah kesihatan awam dan boleh dicegah. Tugas cegah bunuh diri bukan sahaja terletak di bahu satu agensi atau satu pihak sahaja, malah pada semua pihak termasuk ahli keluarga, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, ketua-ketua masyarakat, pertubuhan-pertubuhan agama dan sebagainya. Pertubuhan bukan kerajaan seperti The Befrienders telah sekian lama melaksanakan aktiviti-aktiviti cegah bunuh diri di peringkat komuniti yang meningkatkan kesedaran awam dan mewujudkan talian hayat dan keinginan untuk bunuh diri dan sering bekerjasama dengan pihak Kementerian dalam pelaksanaan aktiviti. Saya amat berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi.
Saya difahamkan seminar pada pagi ini tidak hanya melibatkan anggota daripada Kementerian Kesihatan tetapi turut dihadiri oleh peserta daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain yang kebanyakannya terdiri daripada ‘frontliners’ di agensi masing-masing. Adalah menjadi harapan saya para peserta dapat memanafaatkan ilmu yang diperolehi daripada seminar ini. Saya juga berharap agar pihak media dapat memainkan peranan yang lebih penting apabila melaporkan berita yang melibatkan tingkah laku bunuh diri di kalangan masyarakat, dengan tidak mensensasikan berita tetapi lebih memberi maklumat tepat tentang kesihatan mental, faktor pelinding dan risiko bunuh diri, serta apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk membantu.
Sebelum saya akhiri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah berjaya menganjurkan Seminar ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penceramah yang terlibat dalam menjayakan seminar ini. Saya ingin memaklumkan para hadirin bahawa Hari Kesihatan Mental Sedunia jatuh pada 10 Oktober setiap tahun dan pada tahun ini temanya adalah “Prihatin dan Bantu: Martabatkan Kesihatan Mental”. Marilah kita bersama-sama memainkan peranan kita, Ambil kisah, Hulurkan bantuan, promosikan kesihatan mental dan cegah bunuh diri.
Maka, dengan lafaz ‘Bismillahirahmanirahim’, saya dengan ini merasmikan Seminar “Sayangi Nyawa,Hidupkan Harapan”.
Sekian, terima kasih
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
1 Oktober 2015
Categories: Mental Health, Speech