Kenyataan Akhbar KPK: Status Kejadian Jerebu & Nasihat Kesihatan 4 Oktober 2015

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 jerebu-1

STATUS KEJADIAN JEREBU DAN NASIHAT KESIHATAN

4 OKTOBER 2015

Sehingga jam 1.00 tengahari pada 4 Oktober 2015, enam (6) kawasan direkodkan bacaan IPU sangat tidak sihat (201-300), dua puluh empat (24) kawasan direkodkan bacaan IPU tidak sihat (101-200), empat belas (14) kawasan direkodkan bacaan IPU sederhana (51-100) dan lapan (8) kawasan direkodkan bacaan IPU sihat (kurang 50). Kawasan bacaan IPU sangat tidak sihat adalah Banting (217), Pelabuhan Kelang (227), Petaling Jaya (218), Shah Alam (266), Batu Muda,Kuala Lumpur (227) dan Putrajaya (217). Pada jam 9 dan 10 pagi hari ini, bacaan IPU Shah Alam adalah merbahaya (308).

71443847605_Jerebu
Situasi jerebu di Shah Alam yang mencapai tahap berbahaya pada pagi tadi, telah menurun kepada paras sangat tidak sihat setakat 1 petang tadi apabila mencatat IPU 266 (Sumber foto Astro Awani)

Adalah dimaklumkan kaedah pengukuran dan bacaan IPU yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dirangka berdasarkan kesan kepada kesihatan awam iaitu orang ramai. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa supaya semua penganjuran majlis atau aktiviti hendaklah mengelakkan aktiviti di luar bangunan sekiranya bacaan IPU melebihi 100. Jika sambutan yang melibatkan aktiviti luar ini telah dirancang sebelum kejadian jerebu berlaku, maka KKM menasihatkan agar ia ditangguhkan atau dibatalkan sehingga bacaan IPU adalah baik. Jika masih perlu diadakan, adalah dinasihatkan agar majlis atau aktiviti tersebut diadakan di dalam bangunan (indoor). KKM amat menghargai tindakan pihak penganjur The Standard Chartered KL Marathon kerana telah menunda acara mereka ke satu tarikh lain demi menjaga kesihatan orang ramai yang mengikuti acara tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan pemantauan penyakit berkaitan jerebu (jangkitan saluran atas pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection, URTI), asma dan sakit mata) di 45 klinik-klinik kerajaan terpilih seluruh Malaysia. Pemantauan yang dijalankan untuk 6 minggu kebelakangan ini (Minggu Epid (ME) ke-33 hingga ke-38/2015, jerebu bermula pada ME 35/2015) mendapati kedatangan pesakit dengan penyakit tersebut secara umumnya tidak menunjukkan tren peningkatan yang ketara walaupun terdapat trend peningkatan kehadiran di beberapa klinik sentinel.

image
Sebuah pesawat melakukan penerbangan dalam keadaan jerebu hari ini. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 12 tengah hari tadi di kawasan Seberang Jaya (172), Perai (145) dan Universiti Sains Malaysia (169). – Foto Bernama

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu termasuklah mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.

Selain daripada itu, sila pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman. Banyakkan minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.

Sekiranya mampu, pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) di rumah. Penapis udara yang berkecekapan yang lebih tinggi adalah lebih baik kerana ia boleh menghalang kebanyakan partikel halus yang berkaitan dengan asap dan seterusnya boleh mengurangkan jumlah pencemaran udara di dalam rumah.

Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan bertambah teruk.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga ingin menasihatkan orang awam supaya peka dengan keadaan semasa dan mendapatkan maklumat terkini dari media massa dan laman sesawang mengenai bacaan IPU.

Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my (info kesihatan).

Orang ramai boleh mendapatkan penutup hidung dan mulut di hospital dan klinik kerajaan di kawasan yang dilanda jerebu.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

4 Oktober 2015

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s