KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
VIRAL KULIT KAYU MANIS DI LAMAN MEDIA SOSIAL
Kementerian Kesihatan peka dan prihatin akan dakwaan kulit kayu manis yang dijual di Malaysia adalah merbahaya dan boleh mendatangkan kesan kesihatan kepada hati dan buah pinggang manusia yang kini menjadi viral di laman media sosial seperti Facebook dan Whatsapp.
Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa ’cassia’ dan ’cinnamon’ adalah kulit kayu manis dari ’family’ yang sama. Kulit kayu manis ‘cassia’ turut dikenali sebagai ‘Chinese cinnamon’ yang berasal dari selatan Negara China juga ditanam di beberapa Negara Asia seperti India, Indonesia, Laos, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Manakala ‘cinnamon’ adalah kulit kayu manis ‘Ceylon cinnamon’ yang berasal dari Sri Lanka.
Kulit kayu manis ‘cassia’ dan ‘cinnamon’ mengandungi coumarin iaitu sejenis bahan semulajadi yang memberi perisa. Kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis ‘cassia’ adalah lebih tinggi berbanding ’cinnamon’. Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, coumarin dibenarkan dalam rempah ratus tidak melebihi 10 mg/kg.
Berdasarkan penggunaan kulit kayu manis yang rendah dalam masakan dan hanya digunakan sebagai bahan rempah (bukan bahan utama) untuk memberi perisa dalam makanan di kalangan pengguna di Malaysia, kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis ‘cassia’ ataupun ‘cinnamon’ tidak akan mendatangkan risiko kepada kesihatan. Ini kerana pada kebiasaannya hanya sedikit kulit kayu manis digunakan di dalam masakan.
Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.
Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
20 OKTOBER 2015
Categories: Food Safety, Press