KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PERKHIDMATAN SISTEM PANGGILAN KECEMASAN 999
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Pada Mei 2007 Kerajaan Malaysia telah melancarkan inisiatif ‘Satu Negara, Satu Nombor’ iaitu nombor universal respons kecemasan 999 untuk memberi kemudahan kepada rakyat jika menghadapi kecemasan. Ianya melibatkan 5 agensi kecemasan yang utama iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan disusuli dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan satu tunjak utama sistem Panggilan Kecemasan 999 dalam menjalankan Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans. Buat masa ini terdapat 21 Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan di seluruh negara yang mempunyai peranan dalam menyelaraskan pergerakan kenderaan ambulan mengikut persempadanan yang ditetapkan.
Penggunaan sistem panggilan kecemasan 999 amatlah penting untuk sebarang kecemasan perubatan kerana melalui sistem ini penyelarasan pergerakan ambulan dapat dilakukan dengan lebih baik berbanding dari panggilan terus ke hospital untuk mendapatkan Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulan
Setiap panggilan kecemasan 999 yang dibuat akan disalurkan ke Pusat Respon Telekom Malaysia di mana pusat ini akan mengenalpasti jenis kecemasan yang dihadapi oleh pemanggil sebelum panggilan itu disalurkan ke agensi kecemasan yang berkenaan. Panggilan kecemasan 999 yang diterima oleh Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia akan disaring dengan menggunakan Perisian ProQA di mana melalui proses saringan ini ianya boleh menentukan tahap Pasukan Respon yang sesuai untuk dihantar ke lokasi kejadian.

EMD PROTOKOL Medical Priority Dispatch System digunakan oleh operator panggilan 999 sebagai panduan di dalam mengendalikan panggilan kecemasan. Sumber foto: FB Bahagian Perkembangan Perubatan
Statistik panggilan kecemasan 999 menunjukkan penurunan jumlah panggilan 999 seluruh negara di mana sebanyak 32,368,076 panggilan kecemasan diterima pada tahun 2013 manakala 25,523,778 panggilan diterima pada tahun Namun begitu sebanyak 7.62% (2013) dan 8.35% (2014) merupakan panggilan palsu manakala 75.5% (2013) dan 66.9% (2014) panggilan senyap. Hanya 1.53% (2013) dan 2.37% (2014) merupakan panggilan benar 999. Kementerian Kesihatan Malaysia menerima 43.8% (2013) dan 41% (2014) dari panggilan benar tersebut dan merupakan agensi yang menerima panggilan kecemasan yang tertinggi. Hanya sedikit sahaja panggilan palsu yang terlepas ke KKM kerana ianya telah disaring oleh TM Respons Centre.

Pihak Telekom Malaysia Berhad menerima lebih 20 juta panggilan 999 setahun dan kebanyakannya adalah “panggilan senyap” dan “panggilan palsu” dan BUKAN panggilan kecemasan. Sumber foto: FB Bahagian Perkembangan Perubatan
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat panggilan palsu atau panggilan senyap dengan menggunakan sistem panggilan kecemasan kerana:-
- Ianya boleh mengancam nyawa orang lain kerana petugas lebih menumpukan masa untuk menjawab panggilan palsu dan akan menjejaskan respons untuk panggilan kecemasan yang sebenar.
- Penyalahgunaan panggilan kecemasan 999 boleh didakwa melalui Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sekian, terima kasih
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
22 Oktober 2015
Categories: Crisis & Disaster, Hospital Services, Press