KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
STATUS KES DEMAM KEPIALU DI MALAYSIA
DAN LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN DAN KAWALAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian demam kepialu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Pada 22 Oktober 2015, jam 3.00 petang; empat (4) kes tambahan telah disahkan menghidap demam kepialu, menjadikan jumlah keseluruhan kes dari Januari hingga 21 Oktober 2015 adalah sebanyak 38 kes. Pada hari ini, hanya tujuh (7) kes masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempertingkatkan tindakan pencegahan dan kawalan di WPKL. Semenjak peningkatan kes dilaporkan pada Ogos 2015, sebanyak 160 premis makanan telah diperiksa dan 10 premis telah ditutup kerana didapati tidak sanitari (bersih). Manakala 10 notis kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada tuan punya premis makanan. Seramai 837 pengendali makanan telah diperiksa dan diambil sampel klinikal dan sedang menunggu keputusan ujian makmal.
Kementerian Kesihatan juga menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang membuat penguatkuasaan termasuk menarik BALIK lesen perniagaan ke atas premis-premis makanan yang tidak sanitari.
Susulan dari kejadian kes tifoid di WPKL, semua negeri telah menyemak semula kes-kes tifoid yang dilaporkan dalam dua bulan kebelakangan ini untuk mengenalpasti sama ada terdapat perkaitan dengan kes di WPKL. Berikutan dari itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan 14 kes tifoid yang tinggal di negeri itu mempunyai sejarah makan di Kuala Lumpur. JKNS telah memeriksa 11 buah premis makanan dan empat (4) telah diarah tutup. Seramai 43 pengendali makanan telah diperiksa dan diambil sampel klinikal sedang menunggu keputusan ujian makmal.
Secara umumnya, kes tifoid adalah endemik di Malaysia khususnya di Kelantan dan Sabah. Berdasarkan pemantauan kes di seluruh Negara, sehingga 21 Oktober 2015, bilangan kes tifoid didapati meningkat berbanding aras yang ditetapkan [median kes lima (5) tahun kebelakang]; iaitu 315 kes berbanding median 268. Kelantan menyumbang kepada peningkatan kes tahun 2015 kerana bekalan air dan sanitasi persekitaran yang belum pulih sepenuhnya susulan banjir besar yang berlaku pada Disember 2014 hingga Januari 2015. Tiada peningkatan ketara kes-kes tempatan jika dibandingkan dengan jumlah kes yang dijangka akan dilaporkan setiap tahun bagi setiap negeri.
Kementerian akan mempergiatkan tindakan bersepadu dengan kerjasama kakitangan dari pejabat kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Edaran risalah berkaitan penyakit tifoid serta pendidikan kesihatan kepada individu dan nasihat berkumpulan telah diberikan di premis-premis yang diperiksa.
Maklumat berkaitan tifoid boleh diperolehi dari laman sesawang myHealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
22 Oktober 2015
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Food Safety, Press