KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
STATUS KES DEMAM KEPIALU DI MALAYSIA
DAN LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN DAN KAWALAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian demam kepialu (tifoid) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor. Pada 24 Oktober 2015, sehingga jam 2.00 petang, bilangan kes bertambah sebanyak empat iaitu (3) kes di WPKL dan satu (1) kes di Selangor. Jumlah keseluruhan kes demam kepialu yang dikaitkan dengan peningkatan kes demam kepialu di WPKL semenjak Ogos 2015 adalah sebanyak 52; iaitu 37 di WPKL dan 15 kes di Selangor. Pada hari ini, sebanyak sembilan (9) kes masih dirawat di beberapa hospital iaitu di Kuala Lumpur (5 kes), Selangor (2 kes), Kelantan (1 kes) dan Kedah (1). Kes di Kelantan dan Kedah tinggal dan bekerja di dua negeri yang terlibat dan jatuh sakit semasa bercuti di kampung. Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan.
Semenjak kejadian demam kepialu dilaporkan pada Ogos 2015, sebanyak 304 premis makanan telah diperiksa dan 31 telah ditutup kerana didapati tidak sanitari (bersih). Manakala 16 notis kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada tuan punya premis makanan. Seramai 1,394 pengendali makanan telah diperiksa dan diambil sampel klinikal dan sedang menunggu keputusan ujian makmal lanjutan.
Sehingga kini tiada kes demam kepialu dilaporkan dari negeri lain yang mempunyai sejarah makan di Kuala Lumpur. Pemantauan kes di negeri lain masih diteruskan.
KKM ingin menegaskan bahawa semua pengendali makanan wajib mendapatkan suntikan vaksin tifoid dan menjalani Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh KKM. Ia merupakan satu keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Pengusaha premis makanan yang gagal memastikan pengendali makanan yang bekerja di premisnya mendapat suntikan vaksin tifoid, akan dikompaun di bawah Akta Makanan 1983. Pengendali makanan diingatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk mencuci tangan dengan betul serta pengendalian makanan secara selamat dan bersih.
Kementerian Kesihatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan sedang mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap kebersihan premis makanan bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan mengutamakan makanan yang panas dan baru dimasak. Maklumat berkaitan demam kepialu serta langkah pencegahannya boleh diperolehi dari laman sesawang myHealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 24 Oktober 2015
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Food Safety