KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENINGKATAN KES DEMAM KEPIALU DAN OPS KEPIALU KUALA LUMPUR 2015
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius peningkatan kejadian kes demam kepialu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini. Peningkatan kes dikesan bermula pada awal bulan Ogos 2015. Sehingga jam 5.00 petang 4 November 2015 jumlah keseluruhan kes demam kepialu adalah 60 kes iaitu 42 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor 18 kes. Tiada kematian dilaporkan. Hasil siasatan awal menunjukkan kes-kes berkenaan mempunyai sejarah mengambil makanan atau minuman di sekitar Kuala Lumpur.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah sama-sama mempertingkatkan tindakan pencegahan dan kawalan di WPKL. Semenjak Ogos 2015 sehingga jam 1.00 tengahari 4 November 2015, sebanyak 1,054 premis makanan telah diperiksa oleh kedua-dua jabatan dan 267 premis telah ditutup kerana beroperasi dalam keadaan tidak sanitari. Manakala sejumlah 247 kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atau Undang-Undang Kecil DBKL. Seramai 4,326 pengendali makanan telah diperiksa terdiri dari 2,349 (54.3%) warga Malaysia dan 1,977 (45.7%) bukan warganegara. Seramai 749 (17.3%) daripada mereka tiada bukti pelalian mencegah tifoid yang sahlaku; di mana 222 (29.6%) adalah warganegara berbanding 527 (70.4%) bukan warganegara.
Bagi meningkatkan lagi keberkesan kawalan dan memastikan rangkaian jangkitan penyakit dapat diputuskan segera, JKWPKL&P bersama DBKL telah menjalankan Operasi (Ops) Kepialu KL 2015 bermula 4 hingga 6 November 2015. Ia meliputi hampir semua premis makanan di WPKL. Operasi diketuai oleh Dr. Wan Mansor bin Hamzah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKWPKL&P yang mana melibatkan 230 orang pegawai penguatkuasa kesihatan dari KKM dan 60 pegawai dari DBKL.
Premis makanan yang didapati beroperasi dalam keadaan tidak sanitari akan ditutup. Kompaun pula dikeluarkan ke atas pemilik premis, sekiranya pengendali makanannya gagal menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak Kesihatan dan melakukan tatacara pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat.
KKM juga ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memilih kedai atau gerai makanan yang bersih, dengan pekerja-pekerja khususnya pengendali makanan yang bersih. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu dijadikan pilihan utama. Kebersihan diri juga perlu diutamakan khususnya membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas. Dapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang gejala demam kepialu bagi mengelakkan komplikasi. Maklumat berkaitan tifoid juga boleh diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu www.myhealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
5 November 2015
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Food Safety, Press