KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
MASALAH KESIHATAN YANG BERPUNCA DARIPADA PENCEMARAN BAUKSIT DI KUANTAN, PAHANG

Sumber foto: BERNAMA
Lanjutan daripada kenyataan YB Menteri Kesihatan yang dilaporkan kebanyakan akhbar pada hari ini, Kementerian Kesihatan prihatin dengan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan masalah kesihatan berpunca daripada pencemaran bauksit di Kuantan, Pahang. Kementerian ini, melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, telah dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memantau kesan perlombongan bauksit kepada kesihatan masyarakat. Langkah-langkah yang telah diambil termasuklah:
Memantau kualiti air minum secara berkala
- Terdapat sepuluh (10) buah loji rawatan air (LRA) yang terlibat dalam pembekalan air di Daerah Kuantan termasuk LRA Semambu, Bukit Sagu dan Bukit Goh yang terletak berhampiran kawasan pelombongan bauksit.
- Kekerapan persampelan bagi parameter logam berat di treatment plant outlet (TPO) adalah sekali setiap 3 bulan manakala di service resevoir outlet (SRO) dan kawasan agihan adalah sekali setiap 6 bulan. Bagi parameter aluminium, kekerapan persampelan adalah sekali setiap 1 bulan di treatment plant outlet (TPO) dan service resevoir outlet (SRO) manakala di kawasan agihan adalah sekali setiap 6 bulan. Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kekerapan pemantauan parameter logam berat kepada setiap dua minggu manakala logam lain akan dilakukan setiap minggu.
- Sehingga Disember 2015, semua sampel air terawat yang dibekalkan dari LRA Semambu, Bukit Sagu dan Bukit Goh telah diambil oleh KKM dan sampel-sampel air yang dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan bahawa semua sampel parameter logam berat mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.
Memantau tren kehadiran pesakit di klinik-klinik yang yang terpilih
- Sebanyak 11 Klinik Kesihatan (KK) di kawasan Kuantan telah dipilih untuk memantau kehadiran pesakit Upper Respiratory Tract Infection (URTI), Asma dan Konjunktivitis bermula dari 2014. Pemantauan ini adalah secara berterusan dan analisa akan dibuat dalam tempoh yang tertentu bagi melihat tren penyakit.
- Klinik-klinik yang terlibat termasuklah KK Bkt Goh, KK Balok, KK Beserah, KK Bandar Kuantan, KK Paya Besar, KK Kurnia, KK Indera Mahkota, KK Gambang, KK Sg. Lembing, KK Jaya Gading, dan KK Permatang Badak.
Memantau kualiti makanan
- Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan JKN Pahang secara berterusan melakukan pensampalen pemantauan terhadap kualiti makanan di kawasan terlibat dalam perlombongan bauksit ini. Pensampelan pemantauan ini dilakukan secara berkala dengan kekerapan dua bulan sekali.
- Jenis-jenis sampel yang telah dianalisa bagi parameter logam berat (Plumbum dan Kadmium) termasuklah bahan seperti bawang besar New Zealand, bawang putih cina dan ubi kentang cina, sampel buah-buahan iaitu rambutan, limau bali, durian dan manggis, makanan sedia dimakan (ready to eat) iaitu karipap ayam, air cincau dan jambu batu. Semua bahan mentah yang dianalisa adalah mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
- KKM juga membuat analisa terhadap lima (5) jenis ikan dan hasil laut iaitu ikan mengkerong, ikan kekek, ikan gelama dan ikan andeng dan lokan bagi parameter Plumbum, Kadmium dan Arsenic Inorganic. Semua sampel yang dianalisa adalah mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Berdasarkan hasil pemantauan di atas, penduduk Kuantan tidak perlu khuatir mengenai kualiti air minuman yang dirawat di loji-loji berkenaan.
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sumber air mentah dari mana-mana sungai yang tercemar bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan mereka.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada memakan ikan atau mana-mana hasil tangkapan dari sungai yang disahkan tercemar oleh pihak Jabatan Alam Sekitar sebagai langkah pencegahan awal.
Orang ramai dinasihat supaya sentiasa prihatin terhadap kesihatan mereka dan sekiranya tidak sihat hendaklah segera berkunjung ke klinik-klinik yang terdekat bagi rawatan awal.

Sumber infografik: NST
Kementerian ini akan terus memantau kualiti air minum, kualiti makanan dan tren kehadiran pesakit yang mana ia adalah di bawah bidang kuasa KKM, manakala ia adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan semua aktiviti perlombongan bauksit adalah mematuhi piawai yang dibenarkan supaya kesihatan masyarakat tidak terjejas.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
8 Januari 2016
Untuk membaca blog entry berkaitan, sila klik pautan yang berikut:
Kenyataan Akhbar KPK 22 Dis 2015: Pemantauan Kualiti Air Terawat Di Kuantan
Bauxite Mines: ‘Sustainable Development’ Must Not Compromise Present & Future Safety
Categories: Crisis & Disaster, Environmental Health, Food Safety, Press