KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
GANGGUAN SISTEM PENDINGIN HAWA BERPUSAT HOSPITAL SELAYANG

Sumber foto: The Star
Buat masa ini, sistem pendingin hawa berpusat di Hospital Selayang sedang mengalami kerosakan semenjak 14 Januari 2016 (Khamis) jam 5.00 petang disebabkan kerosakan pada salah satu daripada 4 “chiller” sistem tersebut. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sedang giat dijalankan.
Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pesakit, pelawat dan warga kerja, beberapa langkah sedang diambil oleh pihak pengurusan hospital seperti berikut;
- Kes-kes pembedahan elektif / bukan kecemasan pada 15 dan 16 Januari 2016 telah terpaksa ditangguhkan dan akan dijadualkan semula apabila sistem pulih seperti sediakala;
- Alat pendingin hawa mudah alih dibekalkan ke dewan-dewan bedah dan unit-unit kritikal, dan juga kipas di tempat-tempat tertentu supaya persekitaran berada pada suhu yang ditetapkan. Sehingga kini, 19 buah pendingin hawa mudah alih, 50 kipas dan 5 “cooler” telah diagihkan dan 25 pendingin hawa mudah alih tambahan akan diagihkan dalam jangkamasa terdekat;
- Bagi mengelakkan penangguhan jadual pembedahan elektif pada minggu hadapan, sistem pendingin hawa berpusat akan disalurkan secara optimum melalui kaedah “load shedding” supaya keadaan suhu lebih stabil di kawasan-kawasan kritikal seperti dewan-dewan bedah, dewan bersalin dan Unit Rawatan Rapi;
- Penyewaan 2 “chiller” baru dan akan dipasang pada 17 Januari 2016 (Ahad) dan dijangka boleh berfungsi pada 19 Jan 2016 (Selasa). Sistem pendingin hawa berpusat Hospital Selayang dijangka akan berfungsi seperti sediakala pada 20 Januari 2016 (Rabu).
Pihak pengurusan Hospital Selayang akan sentiasa memantau rapi keadaan suhu di semua lokasi kritikal serta lain-lain lokasi dan kemajuan kerja-kerja pembaikan oleh Perkhidmatan Sokongan Hospital (Radicare).
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Januari 2016
Categories: Hospital Services, Press