Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 19 Jan 2016: Nasihat Kesihatan kepada Pelawat yang Ingin Melawat Negara yang Dijangkiti Virus Zika

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

NASIHAT KESIHATAN KEPADA PELAWAT YANG INGIN MELAWAT NEGARA YANG DIJANGKITI VIRUS ZIKA   

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini berkaitan kejadian jangkitan virus Zika yang dilaporkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2015 dan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 4 Disember 2015. Lanjutan daripada itu, pihak WHO Rantau Amerika (WHO Pan American Health Organization) telah melaporkan bahawa sehingga pertengahan bulan Januari tahun 2016, terdapat kes-kes Zika virus di 17 negara di rantau Amerika seperti Brazil, Barbados, Colombia, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Puerto Rico, Paraguay, Suriname and Venezuela.

KKM juga ingin merujuk kepada laporan oleh Kementerian Kesihatan Brazil bertarikh 30 Disember 2015, di mana terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut. Kementerian Kesihatan Brazil sedang menjalankan penyiasatan lanjut bagi mengenalpasti penyebab sebenar bagi kejadian mikrosefali ini termasuk kemungkinan terdapat hubungkait dengan jangkitan virus Zika.

KKM akan terus mempertingkatkan pemantauan kejadian jangkitan virus Zika di Malaysia. Bermula pada pertengahan tahun 2015 sehingga minggu pertama 2016, sebanyak 247 sampel telah diuji untuk virus Zika, dan kesemuanya dilaporkan negatif untuk virus ini. Bagi tujuan pemantapan survelan, pada 3 Disember 2015, arahan telah dikeluarkan untuk survelan flavivirus (termasuk virus zika) dijalankan di 15 sentinel yang terdiri daripada hospital dan klinik kesihatan kerajaan di negeri Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang. Jumlah sentinel ini dirancang akan diperluaskan ke seluruh negara pada petengahan tahun 2016. Setiap sentinel tersebut akan menghantar sampel secara berkala ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk ujian flavivirus (termasuk virus zika).

Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi. Penyakit ini menunjukkan tanda dan gejala menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, sakit di belakang mata, konjunktivitis dan ruam. Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika. Rawatan yang diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dihidapi pesakit.

8x11preventionENG (1).png

8x11teatmentENG

Untuk makluman, buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti virus Zika termasuk negara Brazil. Mengambilkira situasi terkini jangkitan virus Zika, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai yang ingin melawat ke negara-negara yang dijangkiti virus Zika agar mengambil langkah-langkah pencegahan yang sama digunakan untuk mengelakkan penyakit denggi seperti berikut untuk mengurangkan risiko jangkitan;

  1. Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu;
  2. Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh;
  3. Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM juga ingin menasihatkan kepada wanita hamil, terutama sekali mereka yang berada dalam trimester pertama, agar dapat menunda perjalanan mereka ke negara Brazil sehingga penyebab sebenar kejadian mikrosefali yang dikaitkan dengan jangkitan virus Zika di negara tersebut dapat dikenalpasti. KKM ingin memberi penekanan agar orang ramai hendaklah terus mempertingkatkan aktiviti mencari dan musnah bagi mengurangkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya. Tindakan pencegahan yang dilakukan ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko jangkitan virus Zika tetapi juga Demam denggi.

Terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

19 Januari 2016

 

Categories: Communicable disease, Press, WHO, Zika

Tagged as: , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s