KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
HARI KANSER SEDUNIA 2016
“KAMI BOLEH, SAYA BOLEH”
Sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini disambut pada 4 Februari 2016, dengan tema “Kami Boleh, Saya Boleh” (We Can, I Can) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai beban penyakit kanser yang boleh sama-sama kita bendung. Di Malaysia, kanser adalah salah satu penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga di hospital-hospital swasta di seluruh negara.
Pada tahun 2014, sebanyak 13.02% kematian di hospital-hospital KKM dan sebanyak 25.53% di hospital swasta adalah disebabkan oleh penyakit kanser. Kanser bukan sahaja memberi kesan terhadap kualiti hidup pesakit itu sendiri, malah ia juga memberi impak negatif, terutamanya daripada segi ekonomi kepada keluarga dan masyarakat, serta mengurangkan produktiviti negara.
Tema hari kanser tahun ini adalah ingin menekankan bahawa setiap organisasi dan individu boleh memainkan peranan dalam mencegah dan mengawal kanser. Satu pertiga daripada penyakit kanser boleh dicegah, manakala satu pertiga boleh dirawat dengan baik sekiranya dikesan pada peringkat awal.
Faktor-faktor risiko penyakit kanser adalah serupa dengan faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang lain iaitu gaya hidup tidak aktif (sedentari), tabiat merokok, amalan pemakanan kurang sihat, berlebihan berat badan atau obes dan pengambilan alkohol.
Selain daripada pencegahan, pengesanan kanser pada peringkat awal juga amat penting kerana ia memberi peluang untuk penyakit ini dirawat dengan lebih baik dan berkesan. Justeru itu, KKM menyeru agar orang ramai daripada kumpulan-kumpulan umur tertentu lebih banyak tampil menjalankan ujian saringan terutamanya untuk kanser payudara, kanser serviks dan kanser kolorektal. Ujian-ujian saringan ini ada disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta atau kerajaan.
Sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini, saya ingin menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara berkala dengan lebih kerap, mengamalkan pemakanan sihat yang seimbang, berhenti merokok dan tampil untuk membuat saringan kanser. Semoga dengan peningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap faktor-faktor risiko serta kepentingan pengesanan dan rawatan awal kanser, ia dapat membantu mencegah dan menurunkan beban kanser dengan lebih berkesan di negara ini.
Sekian, terima kasih.
YB DATUK SERI DR S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2016
Categories: Non-communicable disease, Press