KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
LAWATAN YB MENTERI KESIHATAN KE KAWASAN HOTSPOT DENGGI DI APARTMENT SERI CEMPAKA
(Jan. hingga 2 Februari 2016)
Tujuan lawatan di hotspot ini adalah untuk meninjau keadaan dan kebersihaan persekitaran di kawasan ini yang menjadi lokaliti bermasalah denggi. Negeri Selangor masih lagi merupakan penyumbang utama kepada kes demam denggi iaitu 49% daripada kes keseluruhannya. Bagi Januari hingga 2 Februari 2016, sejumlah 7,355 kes dilaporkan di Selangor, berbanding 7,382 kes bagi tempoh sama 2015 iaitu menurun hanya 27 kes (0.5%). Manakala kematian denggi yang dilaporkan adalah 12 kematian, berbanding hanya 22 kematian pada tempoh yang sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 45%.
Sejumlah 206 atau (26%) daripada keseluruhan 805 lokaliti wabak denggi di Selangor ada lah dilaporkan di daerah Hulu Langat. Daripada jumlah tersebut, 44 (21%) lokaliti hotspots dikenalpasti melibatkan sebanyak 1,628 kes Demam Denggi. Apartment Seri Cempaka merupakan lokaliti yang kerap berlaku wabak, di mana pada tahun 2015 telah berlaku 6 kali episod dan yang terpanjang adalah selama 3 bulan. Kadar pembiakan Aedes di Apartment ini adalah sebanyak 2.6% iaitu hampir 3 kali ganda dari kadar sensitif. Punca pembiakan banyak ditemui di luar rumah iaitu sebanyak 67% terutama di tempat-tempat pembuangan sampah dan sebanyak 33% pembiakan ditemui di dalam rumah seperti bekas-bekas penyimpanan air. Sehubungan itu, pemimpin dan masyarakat setempat hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif bagi menggerakkan aktiviti gotong-royong di kawasan ini. Tindakan segera daripada masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kejadian penyakit Demam Denggi dapat dikawal dan dicegah daripada terus berlaku.
Jumlah terkumpul kes Demam Denggi sehingga 2 Februari 2016 adalah 15,251 kes, berbanding 13,252 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, peningkatan sebanyak 15.1% (1,999 kes). Manakala kes kematian akibat Denggi juga didapati menurun sebanyak 7.5% atau 3 kematian, di mana terdapat 37 kematian bagi tahun 2016 berbanding 40 dalam tempoh yang sama pada tahun 2015.
Sempena musim perayaan yang panjang penghuni premis hendaklah memastikan tiada bekas-bekas menakung air yang boleh membiak Aedes semasa balik bercuti. Jika nyamuk ini dapat dihapuskan maka penyakit seperti Zika juga dapat dihalang dari berlaku. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat tahun baru cina kepada semua masyarakat berbangsa cina di negara ini. Jagalah kesihatan diri semasa bercuti agar dapat bergembira bersama keluarga tersayang.
YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
4 Februari 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, Dengue, Press, Zika