KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
ISU PEMANGGILAN BALIK PRODUK SALAD DI AUSTRALIA KERANA DICEMARI BAKTERIA SALMONELLA

A batch of Wash N Toss pre-packaged salads with the “use by” date of Feb 14, 2016 was recalled. PHOTO: TRIPOD FARMERS
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan daripada laman sesawang Food Standards Australia New Zealand (FSANZ) bertarikh 5 Februari 2016 mengenai pemanggilan balik batch tertentu salad prabungkus jenama Wash N Toss, Woolworths, Coles, Supa Salad dan Clear Film keluaran Tripod Farmers, Australia yang mempunyai tarikh luput sehingga 14 Februari 2016 kerana dicemari bakteria Salmonella.
Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh mengakibatkan seseorang itu cirit-birit, demam dan sakit perut. Di samping itu loya, muntah, sakit kepala dan sakit otot mungkin berlaku.

Nearly 100 people have been affected by the salmonella outbreak in Australia caused by contaminated salads from Victorian-based company Tripod Farmers. Read more here
International Food Safety Authorities Network (INFOSAN) di bawah World Health Organization (WHO) dan Food and Agriculture Organization (FAO) telah mengesahkan bahawa produk salad terlibat dalam isu ini hanya dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Thailand. Mengikut INFOSAN, Jabatan Pertanian dan Sumber Air Australia telah mengenalpasti konsainan produk terbabit yang dieksport ke negara berkaitan dan telah mengambil tindakan kawalan. Di samping itu, Jabatan Pertanian Australia juga telah mengesahkan bahawa produk terlibat tidak dieksport ke Malaysia.
Sebagai langkah berjaga-jaga, berkuatkuasa mulai 7 Februari 2016, KKM telah mengenakan larangan import terhadap produk salad Australia yang terbabit di dalam isu ini.
Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan termasuk bakteria patogenik seperti Salmonella adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir kerana KKM sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia
8 Februari 2016
Categories: Food Safety, Press, WHO