KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
TUNTUTAN PALSU KURSUS PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Sejak kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat banyak tuntutan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media massa yang menyatakan kursus / program perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) anjuran pihak mereka merupakan laluan untuk berdaftar sebagai pengamal PT&K apabila Akta PT&K 2013 [Akta 756] dikuatkuasakan kelak.
Tuntutan palsu yang dimaksudkan termasuk:
- Menyatakan kursus / program yang ditawarkan akan / telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia untuk tujuan pendaftaran di bawah Akta 756;
- Penganjuran kursus / program tersebut merupakan mandat daripada Kerajaan Malaysia atau anjuran bersama Kerajaan Malaysia; dan
- Penyertaan kursus / program tersebut merupakan syarat / keperluan di bawah Akta 756 dan sebagainya.
Susulan siasatan yang dijalankan, KKM mendapati kursus / program yang dianjurkan merupakan kursus / program jangka pendek yang tidak berstruktur dengan tenaga pengajar yang tidak berkelayakan.
Dengan ini, KKM ingin menekankan sekali lagi bahawa KKM tidak menyokong (endorse), mengiktiraf atau menganugerahkan sebarang kelayakan dalam PT&K pada masa ini, mahupun terlibat dalam penganjuran kursus / program bersama pihak bukan kerajaan untuk tujuan pendaftaran di bawah Akta 756. KKM ingin memaklumkan bahawa Majlis PT&K yang bakal ditubuhkan di bawah Akta ini akan menetapkan kelayakan yang diiktiraf / kriteria pendaftaran sebagai pengamal PT&K apabila Akta 756 dikuatkuasakan nanti.
KKM sedang berusaha ke arah penguatkuasaaan Akta 756. Apabila Akta ini dikuatkuasakan kelak, mana-mana individu yang ingin mengamal / menawarkan perkhidmatan PT&K adalah WAJIB untuk berdaftar dengan Majlis PT&K dan memenuhi kriteria pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Majlis dan bukan agensi lain termasuk badan pengamal PT&K yang dilantik oleh KKM. Pengamal yang telah berdaftar secara sukarela dengan badan pengamal sebelum Akta 756 dikuatkuasakan, adalah layak dikecualikan daripada pendaftaran sementara di bawah Akta ini. Individu yang didapati mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf tanpa berdaftar dengan Majlis PT&K adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan perundangan.
KKM berharap orang awam peka, berwaspada dan dipohon berhubung dengan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, KKM sekiranya terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan pada talian 03-2698 5077 / 2279 8100 atau emel: tcm@moh.gov.my.
Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
11 Februari 2016
Categories: Press