KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI
DEMAM DENGGI DAN ZIKA DI MALAYSIA
Bagi Minggu 6/2016 (7 hingga 13 Februari 2016)
Kes Denggi yang dilaporkan di seluruh negara menunjukan tren penurunan sejak tiga minggu kebelakangan ini. Bagi Minggu ke 6 iaitu untuk tempoh 7 hingga 13 Februari 2016, pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jumlah kes Denggi dilaporkan adalah sebanyak 2,590 kes berbanding 3,312 kes pada minggu sebelumnya iaitu dengan penurunan sebanyak 722 kes (21.7%). Namun begitu jumlah kumulatif kes Denggi iaitu dari Januari sehingga 13 Februari 2016, adalah sebanyak 19,733 kes telah dilaporkan berbanding 18,351 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, dan ianya masih menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5% (1,382 kes).
Pada minggu ke enam, terdapat enam (6) kematian dilaporkan akibat komplikasi Denggi iaitu masing-masing dua (2) di Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. Pada tahun 2016 sehingga 13 Februari, telah ada sebanyak 43 kematian dilaporkan berbanding 52 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, dengan peratusan penurunan sebanyak 17.3% (9 kematian).
Pemantauan KKM juga menunjukkan terdapat penurunan 11% lokaliti wabak iaitu daripada 1,329 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 1,185 lokaliti pada Minggu ke 6. Namun begitu, untuk tempoh sama, lokaliti hotspot didapati meningkat daripada 244 lokaliti kepada 260 lokaliti pada Minggu ke 6. Ianya melibatkan 9 buah negeri iaitu di Selangor (163 lokaliti), Johor (62 lokaliti), Terengganu (10 lokaliti), Perak (6 lokaliti), Sabah (6 lokaliti), Pulau Pinang (5 lokaliti), WPKL & Putrajaya (5 lokaliti), Negeri Sembilan (2 lokaliti) dan Sarawak (1 lokaliti).
Selain daripada memantau kejadian Demam Denggi, KKM juga turut memantau jangkitan Zika di seluruh negara. Ini kerana risiko penularan jangkitan virus Zika di negara ini adalah agak tinggi memandangkan kedua-dua virus ini disebarkan oleh vektor yang sama iaitu nyamuk Aedes. Sehubungan itu, aktiviti survelan dan tindakan pencegahan perlu diperkukuhkan lagi pada peringkat Jabatan Kesihatan Negeri termasuk Pejabat Kesihatan Daerah iaitu berdasarkan kepada “Zika Alert dan Arahan Pentadbiran Untuk Pemantauan Dan Pengurusan Jangkitan Virus Zika” yang telahpun diedarkan kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri serta lain-lain agensi berkaitan pada 4 Februari 2015 yang lalu.
KKM akan meneruskan kolaborasi dengan tujuh (7) kementerian termasuk lain-lain agensi melalui Mesyuarat Petugas Khas Denggi sedia ada. Pada peringkat negeri, perkara ini hendaklah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Negeri manakala pada peringkat daerah menggunakan platform sedia ada iaitu melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Peringkat Daerah.
Dalam menangani isu Denggi dan juga Zika, tindakan bersepadu dengan lain-lain agensi perlu dipertingkatkan terutama bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan aspek kebersihan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan Aedes khususnya yang melibatkan tanah lot kosong, tapak binaan dan tempat tumpuan awam. Di samping itu, PBT perlu memastikan sistem pungutan sampah dilakukan sekurang kurangnya tiga kali seminggu dan melaksanakan program kitar semula.
Mengenai situasi terkini jangkitan virus Zika secara global, update terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 12 Februari 2016 menyatakan jangkitan Zika telah dilaporkan berlaku di 34 buah negara dan yang terkini melibatkan negara Thailand. Survelan berterusan yang dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati masih tiada jangkitan Zika yang dikesan di negara ini berdasarkan sebanyak 393 sampel yang telah diuji sehingga 14 Februari 2015.
KKM amat berharap agar kerjasama padu daripada semua pihak termasuk masyarakat dalam melakukan langkah-langkah pencegahan dapat dipertingkatkan bagi membendung kejadian kes Denggi dan mencegah penularan virus Zika ke negara ini.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
18 Februari 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, Dengue, Press, WHO, Zika