KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
ISU PENARIKAN BALIK COKLAT
KELUARAN KILANG MARS DI BELANDA
Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan dari beberapa media tempatan dan luar negara pada 24 dan 25 Februari 2016 mengenai syarikat Mars Chocolate yang telah menarik balik coklat jenama MARS®, SNICKERS®, MILKY WAY® dan CELEBRATION® yang dikilang di Belanda sebagai langkah berjaga-jaga susulan penemuan kepingan plastik di dalam coklat jenama SNICKERS® oleh seorang pembeli di Jerman pada 8 Januari 2016.
Hanya produk yang dikilang pada tarikh di antara 5 Disember 2015 sehingga 18 Januari 2016 dan dilabel ”Mars Netherland” terlibat.

Siaran media daripada syarikat Mars
Pihak Kedutaan Kerajaan Belanda di Malaysia telah mengesahkan bahawa semua produk terbabit yang dieksport telah ditarik balik oleh pihak syarikat manakala penarikan balik produk terbabit di pasaran tempatan Belanda sedang dijalankan.
Syarikat MARS Malaysia telah mengesahkan bahawa penarikan balik produk terbabit tidak melibatkan produk yang dijual di Malaysia memandangkan produk yang dijual di Malaysia diimport dari China, Australia dan Amerika Syarikat.
Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
25 Februari 2016
Categories: Food Safety, Press