MESYUARAT PASUKAN PETUGAS KHAS DENGGI PERINGKAT KEMENTERIAN BIL 4/2016 PADA 25 FEBRUARI 2016
Daripada pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Minggu Epid ke-7 tahun 2016, iaitu bagi tempoh 14 sehingga 20 Februari 2016, sejumlah 2,785 kes denggi dilaporkan, menunjukkan peningkatan kes sebanyak 7.5% berbanding minggu sebelumnya iaitu 2,590 kes. Dari Januari hingga 20 Februari 2016, jumlah kumulatif kes Denggi yang dilaporkan adalah 22,518 kes, berbanding 21,310 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, peningkatan sebanyak 5.7% (1,208 kes).
Terdapat lapan (8) kematian denggi dilaporkan pada Minggu Epid ke-7, menjadikan jumlah kumulatif kematian Denggi sebanyak 51 kematian, berbanding 54 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2015, berkurangan sebanyak 3 kematian (5.9%).
Hasil pemantauan KKM, menunjukkan tren kes denggi telah meningkat semula selepas cuti sekolah dan sambutan Tahun Baru Cina. Ini menunjukkan tren penurunan yang berlaku untuk tempoh tiga minggu sebelum ini hanya bersifat sementara dan dikhuatiri tren ini akan terus meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang cekap dan berkesan tidak dilaksanakan. Oleh itu, semua JKN dan PBT perlu melakukan analisa situasi denggi di negeri dan kawasan masing-masing dan merangka strategi yang lebih berkesan supaya tren atau corak yang sama tidak lagi berlaku sebagaimana tahun lepas. Aktiviti pencegahan dan kawalan perlu diperkukuhkan termasuk pelbagai inisiatif lain seperti penguatkuasaan di tapak binaan, program COMBI, gotong royong melibatkan tanah atau lot kosong, tempat tumpuan awam dan sebagainya.
Berdasarkan update WHO sehingga 19 Februari 2016, sebanyak 36 negara telah melaporkan jangkitan virus Zika. Situasi semasa wabak virus Zika di benua Amerika masih berterusan. Ketidakpastian tentang spektrum klinikal jangkitan Zika ini turut menyebabkan komplikasi seperti:
- Microcephaly dan congenital CNS malformation;
- Guillain-Barré Syndrome (GBS) dan sindrom saraf lain
- Risiko jangkitan virus Zika sama ada melibatkan darah, air kencing, air liur dan juga air mani.
Walau bagaimanapun, kaitan antara jangkitan virus Zika dan komplikasi ini masih memerlukan kajian lebih lanjut.

Find out more on Zika here
Hasil pemantauan KKM melalui survelan makmal berterusan yang dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari bulan Jun 2015 sehingga 23 Februari 2016, mendapati sebanyak 414 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi tetapi negatif bagi ujian NS 1, telah diuji untuk mengesan virus Zika. Setakat ini semua keputusan ujian adalah negatif.
Penyebaran virus penyakit Denggi dan virus Zika adalah oleh nyamuk yang sama iaitu Aedes. Oleh itu, segala usaha menghapuskan Aedes akan juga menghalang kejadian kedua-dua penyakit ini. Selain daripada tindakan masyarakat dan semua pihak menjaga kebersihan persekitaran, aktiviti penguatkuasaan oleh pihak KKM, PBT dan agensi lain dalam kawalan denggi perlu ditingkatkan. Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti “cari dan musnah” tempat pembiakan Aedes setiap minggu hendaklah diteruskan oleh semua Kementerian melalui tindakan bersepadu Pasukan Petugas Khas Denggi ini.
Categories: Blog, Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, WHO, Zika