KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
ISU PENARIKAN BALIK PRODUK EVERGREEN
LIFE MANUKA HONEY DARI NEW ZEALAND
Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan daripada laman sesawang Ministry of Primary Industries (MPI), New Zealand bertarikh 26 Februari 2016 mengenai penarikan balik produk Manuka Honey tertentu oleh Syarikat Evergreen Life Limited di New Zealand kerana terdapat maklumat bahawa ada kemungkinan bahan yang tidak dibenarkan iaitu dihydroxyacetone dan methylglyoxal digunakan dalam pemprosesan produk madu tersebut. Pihak MPI, New Zealand menyatakan bahawa tiada bahaya keselamatan makanan yang dikaitkan dengan produk yang ditarik balik.

Evergreen Life Ltd is recalling certain mānuka honey products. There is information to suggest non-approved substances, dihydroxyacetone and methylglyoxal, may have been used during the processing of the honey. There is no food safety risk associated with the recalled products. Read more here
Semakan data import dari tahun 2015 sehingga kini yang diperolehi melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia-FoSIM) menunjukkan produk terbabit ada diimport ke negara ini. Kementerian Kesihatan dimaklumkan oleh pihak pengimport produk terlibat bahawa mereka sedang menarik balik produk terlibat dari pasaran secara sukarela memandangkan bahan dihydroxyacetone dan methylglyoxal tidak dibenarkan ditambah pada makanan di bawah Akta Makanan 1983.
Di bawah subseksyen 13C (2), Akta Makanan 1983, adalah menjadi kewajipan pengimport atau penjual sesuatu produk makanan, jika mereka mengetahui bahawa makanan terlibat mengandungi apa-apa bahan yang penambahannya tidak dibenarkan oleh Akta Makanan 1983 atau mana-mana peraturan di bawahnya untuk memanggil balik, memindahkan atau menarik balik daripada penjualan makanan itu dari mana-mana premis makanaan dengan serta merta. Pengimport atau penjual yang melanggar subseksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, berkuatkuasa mulai 28 Februari 2016, Kementerian Kesihatan telah mengenakan larangan import terhadap produk Manuka Honey terbabit di dalam isu ini.
Pengguna yang telah membeli produk terlibat dinasihatkan supaya tidak memakan produk terlibat dan memulangkannya kepada penjual. Walaupun tidak ada bahaya keselamatan makanan, pengguna yang telah memakan produk ini dan mempunyai keraguan terhadap kesihatan mereka boleh merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat perubatan.
Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
28 Februari 2016
Categories: Food Safety, Press