KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
KEJADIAN KERACUNAN MAKANAN DISYAKI DISEBABKAN OLEH MAKANAN DICEMARI BAHAN KIMIA DI DAERAH KECIL BATU GAJAH, PERAK PADA 4 MAC 2016
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah melakukan siasatan segera berhubung kejadian keracunan makanan yang berlaku di daerah kecil Batu Gajah, Perak pada 4 Mac 2016.
Pada 4 Mac 2016 dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, Jabatan Kecemasan, Hospital Batu Gajah, Perak telah menerima 37 kes dengan tanda dan gejala seperti kepeningan (dizziness), muntah, cirit birit, kecelaruan (confusion), muscle twitching, pinpoint pupils, berpeluh berlebihan (excessive sweating) dan air liur berlebihan (excessive salivation). Daripada jumlah ini, seramai sembilan (9) kes dimasukkan ke wad di Hospital Batu Gajah manakala empat (4) kes lagi dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (HRPB) dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan (assisted mechanical ventilation). Julat umur kes-kes ini adalah antara 2 hingga 71 tahun. Selebihnya, 24 orang telah discaj dari Jabatan Kecemasan Hospital. Kes-kes ini adalah terdiri daripada orang awam warga Malaysia dan seorang warga Myanmar yang bekerja dan/atau tinggal di Batu Gajah, Perak.
Sehingga 12 tengah malam 4 Mac 2016, terdapat tambahan dua (2) kes menjadikan seramai 39 kes, di mana tujuh (7) kes berada di HRPB, seorang (1) di KPJ Ipoh Specialist Hospital dan 20 orang di Hospital Batu Gajah. Selebihnya sedang dikesan untuk dibawa ke hospital terdekat untuk pemerhatian dan tindakan susulan. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Berdasarkan kepada tanda dan gejala yang dikesan pada kebanyakan pesakit, pihak Pakar Klinikal dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam mengesyaki kemungkinan terdapat pencemaran bahan kimia pada makanan yang dimakan oleh pesakit di mana makanan tersebut telah dibeli daripada gerai yang sama pada pagi 4 Mac 2016. Maklumat keputusan makmal yang diterima sehingga 12 tengahari 5 Mac 2016 mendapati sembilan (9) sampel darah yang diterima telah dikesan paras ujian cholinesterase di dalam darah adalah rendah dan ini merupakan indikator pendedahan kepada bahan kimia organophosphorus.
Namun begitu, pihak KKM sedang terus menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca dan penyebab sebenar kejadian keracunan makanan ini termasuk menjalankan ujian ke atas sampel klinikal, persekitaran, makanan dan air.
Antara tindakan yang telah diambil oleh PKD Kinta dan JKN Perak adalah seperti berikut:
- Menjalankan siasatan kes di hospital dan rumah serta analisa ringkasan kes yang dikesan setakat ini.
- Menjalankan siasatan dan pemeriksaan di gerai yang terlibat dan pengendali makanan.
- Mengaktifkan Bilik Gerakan di PKD Kinta dan Hospital Batu Gajah. Beberapa pasukan telah dibentuk yang terdiri daripada anggota Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Unit Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Unit Kawalan Mutu Air Minuman dan lain-lain pasukan di PKD.
- Perbincangan awal bagi mengenalpasti punca kejadian telah diadakan yang turut dihadiri oleh pihak Bomba Batu Gajah dan pihak kesihatan (PKD dan JKN).
- Sampel makanan, persekitaran, klinikal, bekalan air di gerai terbabit dan tiga (3) buah kilang di mana pesakit bertugas telah diambil untuk analisa lanjut.
Tindakan selanjutnya akan dilaksanakan termasuk:
- Active surveillance akan dijalankan dalam tempoh dua minggu untuk kes-kes yang memenuhi kes definisi di klinik dan hospital (awam dan swasta) di kawasan berkenaan.
- Siasatan kes di rumah dan active case detection (ACD) untuk kes yang serupa akan diteruskan.
- Perbincangan dengan agensi-agensi yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian ini.
Sehubungan itu, orang ramai di kawasan Batu Gajah, Perak dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti di atas. KKM akan terus memantau dan melaksanakan tindakan yang perlu bagi mengekang kejadian ini.
Terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
5 Mac 2016
Categories: Food Safety, Press
Organophosphate can be natural (TOCP) or manmade..? Tapi
Jabatan pertanian kena pantau sumber sayuran dan minyak masak takut tercemar:(
LikeLike