KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
ISU NASIB GRADUAN BIDANG PERGIGIAN YANG TERPAKSA MENUNGGU HAMPIR SETAHUN UNTUK PENEMPATAN KHIDMAT WAJIB DI HOSPITAL KERAJAAN
Pada 4 dan 5 Mac 2016, Buletin Utama TV3 telah melaporkan mengenai nasib graduan bidang pergigian yang terpaksa menunggu hampir setahun untuk penempatan khidmat wajib di hospital kerajaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia maklum dan sangat prihatin di atas isu penempatan graduan pergigian baru. Pada ketika ini, terdapat kekangan perjawatan kosong bagi Pegawai Pergigian di KKM kerana jawatan yang sedia ada hampir keseluruhannya (99%) telah diisi. Seramai 980 graduan telah mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia pada tahun 2015 dan jumlah ini menunjukkan peningkatan yang amat ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah ini, seramai 504 graduan telah mendapat penempatan di KKM. Baki sebanyak 476 telah menunggu selama 6 – 9 bulan dan masih belum mendapat penempatan memandangkan hanya 87 perjawatan kosong untuk diisi. Tambahan pula, kadar atrisi (attrition rate) Pegawai Pergigian pada 2015 adalah hanya lapan peratus (8%).
Peningkatan jumlah graduan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh jumlah graduan luar negara yang telah menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda sejak tahun 2014 (2013: 245 orang; 2014: 447 orang; 2015: 482 orang). Namun, peningkatan ini bukanlah bermakna terdapat lambakan graduan pergigian. Berdasarkan unjuran keperluan Pegawai Pergigian oleh KKM, negara masih memerlukan Pegawai Pergigian. Dengan mengambil kira pertambahan penduduk, jangkaan bilangan graduan dan bilangan atrisi, nisbah Pengamal Pergigian kepada penduduk semasa iaitu 1: 3,000 hanya akan tercapai pada tahun 2018. Selaras dengan itu, pembangunan dan perkembangan fasiliti di KKM juga akan dikaji semula supaya tidak menjejaskan perancangan penempatan graduan pergigian untuk khidmat wajib.

Sumber foto: FB Pergigianterengganu

Sumber foto: FB Kp Btr Pahang
Keperluan khidmat wajib di sektor awam bagi graduan pergigian adalah seperti yang terkandung di dalam Akta Pergigian 1971. Perkhidmatan awam ini merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan. Pada masa ini, majoriti (95%) menjalani khidmat wajib di KKM. Khidmat wajib pada dasarnya dilaksanakan supaya bilangan Pegawai Pergigian di perkhidmatan awam mencukupi bagi meningkatkan aksesibiliti perkhidmatan pergigian kepada Rakyat. Selaras dengan perkembangan semasa dan setelah mengambil kira pengeluaran graduan pergigian dari pelbagai universiti dalam dan luar negara, khidmat wajib ini juga dapat memastikan graduan dapat menyesuaikan diri dengan sistem kesihatan negara.
Beberapa pendekatan telah diambil bagi menangani masalah penempatan ini:
- Pengurangan tempoh khidmat wajib
Khidmat wajib telah bemula pada tahun 2001. Pada masa itu tempoh khidmat wajib adalah selama tiga tahun. Dengan peningkatan bilangan Pegawai Pergigian, tempoh khidmat wajib telah dikurangkan ke dua tahun pada 5hb April 2012 dan seterusnya kepada satu tahun pada 1 Julai 2015. Pengurangan tempoh khidmat wajib akan memberi peluang kepada Pegawai Pergigian untuk berkhidmat di sektor swasta dalam tempoh yang lebih singkat.
- Penamatan Pegawai Pergigian kontrak bukan warganegara dan pesara
Sejak tahun 2012, panduan lantikan pegawai kontrak di KKM telah dikaji semula di mana KKM telah menamatkan lantikan Pegawai Pergigian kontrak bukan warganegara dan pesara. Langkah ini memberi laluan pekerjaan kepada graduan baru.
- Moratorium Program Pergigian
Mulai 1 Mac 2013, Moratorium Program Pergigian telah dikuatkuasa selama tempoh 5 tahun sehingga 2018. Salah satu syarat yang terkandung dalam moratorium adalah menghadkan jumlah pengambilan pelajar tempatan kepada 800 setahun.
- Pewujudan jawatan baharu bagi Pegawai Pergigian
Mengambilkira keperluan dan ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan pergigian yang semakin meningkat serta pembangunan fasiliti kesihatan yang dinamik, jawatan Pegawai Pergigian baru diwujudkan secara berfasa. Pada tahun ini, sebanyak 391 jawatan pada gred U41 baru dan 300 jawatan kontrak bagi warganegara telah diwujudkan bagi menempatkan baki graduan pergigian tahun 2015 yang belum dilantik. Permohonan jawatan tambahan Pegawai Pergigian akan dibuat secara berperingkat untuk graduan 2016 dan berikutnya.
- Memperhalusi kaedah-kaedah lain
Beberapa perbincangan telah dan akan diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders) termasuk pihak swasta bagi mengkaji kaedah-kaedah lain bagi mengatasi isu penempatan Pegawai Pergigian. Kaedah-kaedah penempatan graduan pergigian akan diperhalusi dengan lebih terperinci sebelum sebarang keputusan muktamad dicapai.
Sekian, terima kasih
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6 MAC 2016
1 reply »