KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI
DEMAM DENGGI DAN ZIKA DI MALAYSIA
Bagi Minggu 11/2016 (13 Mac hingga 19 Mac 2016)
Pada minggu ke-11 tahun 2016, (13 Mac hingga 19 Mac 2016) sejumlah 2,247 kes demam Denggi yang dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,556 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 309 kes (12.1%). Terdapat lima (5) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Perak 16 kes (16.0%), Sabah 13 kes (46.4%), Kelantan 5 kes (9.8%) manakala Perlis dan Kedah masing-masing 1 kes (6.3%). Daripada Januari hingga 19 Mac 2016, jumlah kumulatif kes Denggi telah menunjukkan peratus peningkatan sebanyak 6.6% (2,035 kes) iaitu 32,925 kes bagi tahun ini, berbanding 30,890 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015.
Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan bilangan kematian yang dilaporkan pada minggu ke-11 adalah sebanyak tujuh (7) kematian yang melibatkan dua (2) kematian masing-masing di Selangor, WP Kuala Lumpur & Putrajaya dan Johor, serta satu (1) kematian di Perak. Daripada Januari sehingga 19 Mac 2016, terdapat peratus penurunan kematian Denggi sebanyak 16.3% (16 kematian). Jumlah kumulatif kematian Denggi adalah sebanyak 82 kematian berbanding 98 kematian bagi tempoh sama tahun 2015.
Di samping itu, peratusan lokaliti wabak juga menunjukkan penurunan daripada 1,064 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 942 lokaliti pada minggu ke-11 iaitu sebanyak 11.5%. Jumlah lokaliti hotspot didapati turut berkurangan daripada 230 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 202 lokaliti pada minggu ke-11. Kejadian lokaliti hotspot melibatkan 7 buah negeri iaitu di Selangor (151 lokaliti), Johor (37 lokaliti), Perak (6 lokaliti), WPKL & Putrajaya (4 lokaliti), Terengganu (2 lokaliti), Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing satu (1) lokaliti.
Hasil daripada pemantauan nyamuk oleh KKM, menunjukkan bahawa populasi nyamuk adalah masih tinggi di mana indeks ovitrap terutamanya di Selangor mencatatkan bacaan 56% berbanding 10% bacaan piawai dan risiko gigitan nyamuk kepada manusia adalah melebihi 2 ekor sejam. Oleh yang demikian, masyarakat perlu menjalankan aktiviti membersihkan kawasan dan melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repellant atau memakai pakaian menutup anggota badan. Selain itu, aerosol boleh digunakan untuk membunuh nyamuk dewasa yang berada di dalam rumah.
Secara global, situasi terkini jangkitan virus Zika oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu dari 1 Januari 2007 sehingga 16 Mac 2016, menunjukkan sebanyak 59 buah negara telah melaporkan jangkitan virus Zika. Pada 14 dan 15 Mac 2016, Cuba dan Dominica masing-masing telah melaporkan jangkitan virus Zika tempatan. Mengenai aktiviti survelan bagi mengesan jangkitan Zika di negara ini, sehingga 19 Mac 2016, sebanyak 448 sampel telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun tiada jangkitan virus Zika yang dikesan.
Penularan jangkitan Zika dan Denggi boleh dicegah sekiranya langkah-langkah pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes dilakukan oleh pihak masyarakat. Ini kerana kedua-dua penyakit ini adalah disebabkan oleh vektor yang sama.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
25 Mac 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, Dengue, Press, Zika